Saturday, October 30, 2010

Diperkosa guru tuisyen anak

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KUALA LUMPUR: Walaupun dia dan anak lelakinya berusia sembilan tahun sering dipukul isteri, kasih seorang suami tetap utuh apabila mengetahui wanita itu mengalami tekanan perasaan akibat dihantui kisah silam kerana dirogol guru tuisyen anaknya di rumah mereka di Cheras, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian pertengahan Disember tahun lalu, mangsa berusia awal 30-an itu dirogol suspek di hadapan anaknya.


Disebabkan bimbang dan malu jika perkara itu diketahui umum, selain memberi ruang kepada isterinya mencari ketenangan, mereka nekad tidak membuat laporan polis.


Namun, kesempatan itu digunakan sepenuhnya guru tuisyen durjana berusia lewat 30-an itu untuk meminta wang bagi menutup mulut, selain memaksa mangsa melayaninya di ranjang.

Akibat tidak tahan, suami mangsa berusia awal 60-an membuat laporan kira-kira jam 10 pagi di Balai Polis Salak Selatan, di sini, kelmarin, bagi membela nasib isteri dan keluarganya itu.


Menurut sumber, wanita itu akan hilang kawalan sebelum memukul anak lelaki serta suaminya jika dihubungi suspek meminta wang.

“Mangsa memukul suaminya jika tidak dapat menyediakan wang seperti diminta suspek. Malah, mangsa juga membelasah anak itu tanpa belas kasihan,” katanya.


Sumber berkata, semuanya bermula apabila mangsa membenarkan suspek masuk ke rumahnya buat kali pertama bagi mengajar anaknya itu.


“Suspek mulanya berpura-pura mengajar anak mangsa sebelum memanggil wanita itu kononnya mahu menjadikannya model untuk sesi pembelajaran berkenaan.


“Sebaik mangsa menghampirinya, guru itu mendakwa mahu menunjukkan pelajaran yang cukup berguna kepada anaknya.


“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju sebelum dirogol di depan anaknya itu,” katanya.


Katanya, lelaki itu kemudian mengugut mendedahkan perkara itu kepada orang ramai dan suami mangsa.


“Mangsa yang bimbang dimalukan akur dan sejak itu sering diugut,” katanya.


Katanya, sejak itu mangsa tertekan dan melepaskan tekanan itu kepada suami dan anaknya itu. “Mangsa memberitahu suaminya mengenai kejadian hitam menimpanya itu selain meminta perkara itu dirahsiakan kerana malu jika diketahui umum.


“Suami mangsa yang terlalu sayang dan simpati terpaksa akur sehinggalah isterinya itu teruk membelasah anak mereka selepas diganggu suspek,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Diperkosagurutuisyenanak/Article/index_html

Terharu terima sumbangan

Oleh Zulfa Mohamad

BUKIT MERTAJAM: “Alhamdulillah, ada juga pihak tampil beri sumbangan. Sebelum ini, nak makan pun kadang-kadang sangkut tapi hari ini (semalam), banyak barang makanan diberi,” kata Rosli Hashim, 43.

Rosli dari Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh di sini, yang menderita penyakit mudah penat bukan saja dihimpit kemiskinan, malah terpaksa memikirkan nasib isteri, Sharimah Othman, 41, yang menghidap tiroid dan ketumbuhan dalam rahim.


Selain itu, seorang daripada anak perempuannya, Siti Zulaikha, 5, menderita penyakit saraf.


Rosli berkata, keluarganya kini bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan selain ihsan saudara-mara serta jiran, manakala bantuan Pusat Urus Zakat diterima setahun sekali.

“Wang bantuan memang tidak cukup untuk membeli barang keperluan apatah lagi menampung kos perubatan isteri dan anak.


“Kami bersyukur sangat sebab Harian Metro sudi menghulurkan sumbangan kerana sudah lama menjamah nasi berlauk ikan bilis,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Harian Metro dan Islamic Relief Malaysia (IRM), semalam.

Sumbangan disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut sama, Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat dan Pengurusan Acara NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi dan Ketua Biro Harian Metro Wilayah Utara, Badrila Jamlus. IRM memberikan bantuan pek barangan makanan harian kepada keluarga terbabit dan kerjasama dengan Harian Metro dijalankan sejak program Titipan Kasih dimulakan Januari lalu.


Sebelum ini, program itu dijalankan di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sarawak dan Johor dengan pemberian sumbangan bagi sebuah keluarga yang hidup susah, manakala program di Perak dan Melaka, sumbangan diberikan kepada anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin.


Sumbangan itu susulan kisah kesusahan keluarga Rosli disiarkan Harian Metro semalam yang bergantung harap pada anak-anaknya, jiran serta saudara-mara untuk meneruskan kehidupan. Berikutan kesempitan hidup, dua daripada lapan anak Rosli, Mohd Norhisham, 16, dan Nurshamiza, 19, berhenti sekolah untuk membantu keluarga dengan bekerja di kedai menjual burung.


Nurlina, 18, dan Nurshahira, 14, pula mengambil upah mengupas ikan bilis dengan pendapatan RM8 sekampit. Dua anak Rosli masih bersekolah iaitu Nurul Fatin, 12, dan Mohd Izwan, 10, manakala yang bongsu, Nurmaisarah, 3.


Sharimah pula berkata, dia perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Seberang Jaya tetapi tarikhnya belum ditetapkan selain membelanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk membeli barang keperluan serta rawatan.


“Saya terpaksa menaiki bas setiap kali ke hospital kerana tiada kenderaan selain mengharapkan bantuan saudara mara,” katanya.


Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh memasukkan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Sharimah Othman melalui nombor akaun, 07103-29-00023339-7.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terharuterimasumbangan/Article/index_html

Mangsa warga asing

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KUALA LUMPUR: Pendarahan dalam perut akibat ditendang atau dipukul dengan benda tumpul dikenal pasti menjadi punca kematian seorang wanita yang ditemui dalam sebuah beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, di Hulu Klang, petang kelmarin.

Malah, pemeriksaan awal juga mendapati mangsa bukan warga tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan BCG pada bahunya dan mayat mangsa turut disahkan tiada tanda dibunuh menggunakan sebarang senjata.


Difahamkan, mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an dan bukan remaja seperti didakwa sebelum ini.


Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kedua-dua mata mangsa juga lebam dipercayai ditumbuk dan ditendang.

“Hasil pemeriksaan bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan dalam perut. Pemeriksaan juga akan dijalankan bagi memastikan sama ada mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.


“Motif mangsa dibunuh juga belum dapat dikenal pasti. Kes ini masih dalam siasatan dan kita (polis) sedang berusaha mencari suspek dan individu yang boleh membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Polis juga sedang menyiasat dan mengesan nombor telefon yang ditemui bersama mangsa,” katanya. Penemuan satu nombor telefon dan nama seorang lelaki bersama-sama mangsa adalah satu-satunya petunjuk yang ada bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa.


Difahamkan, nombor telefon dan nama berkenaan milik seorang lelaki dipercayai warga Indonesia.


Akhbar ini semalam melaporkan mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh ditemui dalam beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian.


Beg berisi mayat itu ditemui pekerja bengkel berhampiran kawasan semak di tepi parit tidak jauh dari tanah rezab Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang.


Kejadian menyayat hati itu hampir mengulangi insiden sama pada 17 September 2007 lalu apabila mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, turut ditemui mati dibunuh dalam beg pakaian sebelum dibuang di Petaling Jaya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsawargaasing/Article/index_html

7 tahun dicabul bapa

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.
BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.

KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun anak saudara saya yang berusia 14 tahun dicabul bapanya sendiri, tapi baru kini rahsia itu terbongkar sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Rawang, Rabu lalu,” kata Kamisah Jamal, 31, ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang mendakwa dicabul bapanya sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, setiap hari mangsa sering bermuram kerana trauma dengan apa yang berlaku selain tidak menyangka bapa kandungnya yang juga penagih dadah tergamak mencabul kehormatannya sejak kecil.


“Melalui cerita anak saudara saya, dia memberitahu ketika berusia tujuh tahun, bapanya selalu bermain dengan kemaluannya dengan tangan tetapi sejak dua tahun lalu selepas cukup umur, bapanya semakin berani melakukan perkara yang lebih buruk.


“Bapa mangsa yang juga abang kandung saya, sering mengambil peluang menceroboh masuk ke bilik anaknya itu apabila semua ahli keluarga lain tidur dan ada kalanya pada sebelah pagi ketika ibunya pergi bekerja hingga dia tidak terdaya untuk melawan,” katanya ketika datang ke Balai Berita, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berlanjutan menyebabkan anak saudaranya itu trauma.


“Selepas membuat laporan, saya membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan ada kesan menunjukkan anak saudara saya itu dicabul.

“Saya hanya mahu ayahnya ditangkap kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri,” katanya.


Akibat perbuatan terkutuk itu, anak saudaranya itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba membunuh diri.


Kamisah juga tidak berpuas hati apabila kakak iparnya merancang untuk menarik balik laporan yang dibuat kerana tidak mahu suaminya ditangkap.


“Saya hanya minta anak saudara dan dua adik perempuannya dilindungi bagi mengelak kejadian buruk berlaku.


“Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk dilalui,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kes cabul berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut sebelum melakukan sebarang tangkapan.

"Tinggal Serumah, Tak Buat Apa-Apa" - Aida Khalida

Sabtu Oktober 30, 2010

Aida kini lebih tenang hidup solo.

PETALING JAYA: Pelakon Aida Khalida mengaku bahawa bekas suami, Joe Radzwil tinggal serumah dengannya selepas disahkan bercerai talak satu pada 25 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Joe telah keluar daripada rumah tersebut kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Aida, dia terpaksa membiarkan Joe tinggal bersama untuk memberi peluang kepeada bekas suaminya itu mencari rumah baru.

"Dah 10 tahun kami bersama, takkan saya tidak berhati perut menghalaunya keluar. Saya memberi tempoh kepada Joe untuk mencari tempat tinggal baru.

"Saya tahu ada beberapa media yang gosipkan tentang kami. Walaupun kami tinggal serumah, saya masih lagi menutup aurat, malah kami tidur belainan bilik.

"Bukankah saya sudah "berhijrah"? Perkara-perkara sebegini sudah semestinya saya titik beratkan.

"Rasanya saya tidak perlu memberitahu semua orang apa yang kami buat di rumah. Orang luar memang suka mengandaikan macam-macam hal, tetapi ia sebagai pengajaran buat kami," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Aida yang masih dalam tempoh edah, walaupun tinggal bersama, tidak pernah berlaku rujuk atau merancang untuk rujuk semula kerana keputusan (cerai) telah pun dibuat.

"Ini semua salah faham. Lagipun, bila saya balik rumah, dia tak ada dan bila dia balik rumah, saya pula yang tiada. masing-masing buat hal sendiri.

"Walaupun dia mahu kembali bersama saya dan mengajak untuk berkahwin semula, rasanya penceraian adalah yang terbaik buat kami.

"Tiada lagi perasaan sayang yang berbangkit," ujarnya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Seribu Kali Cinta.Melalui kehidupan solo semula, Aida kini lebih selesa dengan kehidupan barunya.

Baginya, ia merupakan satu rahmat yang diterima daripada Allah S.W.T untuk menjadikannya seorang wanita yang lebih tabah mengharungi kehidupan bersendirian.

"Kini hidup saya lebih positif. Walaupun penceraian itu nampak seperti buruk, ia ada kebaikannya. Kadang kala, penceraian bukanlah suatu perkara yang teruk. Saya percaya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambanya.

"Apapun, buat masa sekarang ini saya enggan berfikir tentang kahwin atau mencari teman hidup baru.

"Bagi saya, jika mempunyai seseorang untuk dijadikan suami, saya perlu menunaikan tanggungjawab saya sebagai isteri lagi sekali. Kalau pengorbanan itu dihargai, tak apa juga," ujarnya yang sedang merancang membuka perniagaan sebagai pemborong tudung.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/30/mstar_hiburan/20101029204703&sec=mstar_hiburan

Tragedi bas pelancongan: JPJ sahkan pemandu bas tidak mempunyai lesen memandu

KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.


"Pemandu bas itu sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Che Husin berkata, pemandu itu yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.


Che Husin berkata, polis sedang menyiasat sama ada pemandu itu mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan berkenaan.

"Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar," katanya.


Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada 7.50 malam tadi.


Bas itut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas berkenaan.


Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada jam 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada 8 pagi semalam.


Pada 7 malam tadi, rombongan itu bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Tragedibaspelancongan_JPJsahkanpemandubastidakmempunyailesenmemandu/Article

Tragedi balik bercuti



Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim, Mohd Firdaus Ibrahim dan Safuri Kamarudin

MALANG...bas yang terbalik di susur masuk ke Genting Highlands.
MALANG...bas yang terbalik di susur masuk ke Genting Highlands.
MALANG...anggota bomba mengangkat seorang mangsa yang terbunuh.
MALANG...anggota bomba mengangkat seorang mangsa yang terbunuh.

GOMBAK: Tujuh maut manakala 38 cedera, 20 daripadanya parah selepas sebuah bas rombongan dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, Kedah terbabas sebelum terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, bas yang membawa 44 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kerosakan brek sebaik bas menuruni susur keluar ke lebuh raya.

Katanya, sebaik tiba berhampiran terowong itu, bas berkenaan tiba-tiba gagal dikawal lalu melanggar penghadang tengah jalan sebelum terbaring merintangi jalan.

“Tujuh mangsa yang maut akibat tersepit dan mayat mereka dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Bentong dengan ambulans. Dua pemandu bas berkenaan juga terselamat,” katanya.

Enam mangsa yang terbunuh ialah Muhammad Yussof Akhit, 16; Muhammad Khairi Muhammad Marzuki, 14; Muhammad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husin, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17 dan Muhamad Amirul Mohamad Isa, 13, dan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28.

Seorang lagi mangsa terbunuh dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan identitinya belum dikenal pasti.

Che Husin berkata, enam jentera bomba turut dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

Sementara itu, Setiausaha Umno Baling, Mohamad Sani Mahmud berkata, rombongan itu ke Genting Highlands bercuti. Mereka bertolak dari Baling malam kelmarin dan ketika kejadian dalam perjalanan pulang.

Katanya, mereka dipilih di kalangan penduduk berusia 20-an untuk bercuti.

“Kami terkejut kejadian itu dan kini menguruskan jenazah untuk dibawa ke Baling bagi dikebumikan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tragedibalikbercuti/Article

Friday, October 29, 2010

Bertunang lima gadis

KULIM - Hebat sungguh jejaka ini.

Dia sering kelihatan mewah dan bergaya, membuatkan ramai gadis tergoda. Apabila umpan sudah mengena, dia lantas mengatur majlis pertunangan yang cukup meriah.

Bukan seorang, tetapi lima gadis menjadi tunangnya sekali gus.

Namun, jauh di lubuk hati jejaka itu, tiada siapa tahu, dia sebenarnya langsung tiada niat mahu menikahi mereka.

“Ini hanya taktik licik untuk dia memperdaya ‘tunang-tunangnya’ itu,” kata jurucakap polis di sini mengenai taktik menipu seorang lelaki yang memperdaya wanita sehingga kerugian beratus-ratus ribu ringgit.

Selepas bertunang, katanya, lelaki itu akan mempengaruhi mangsa untuk membuat pinjaman peribadi sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit setiap seorang yang dikatakan bertujuan untuk persediaan majlis perkahwinan dan juga perniagaan yang akan mereka jalankan bersama setelah berkahwin kelak.

"Mangsa yang terpedaya, akan mudah dipengaruhi. Apa lagi dia sering berlagak seperti ahli perniagaan yang berjaya serta punya wang yang banyak. Ini meyakinkan mereka untuk melabur dalam perniagaan khayalan itu tanpa sebarang rasa ragu," katanya.

Bagaimanapun katanya, helah lelaki itu hanya terbongkar apabila selepas mendapat wang mangsa, jejaka itu pun hilang khabar berita.

"Setakat ini, kita sudah terima laporan daripada lima mangsa yang kesemuanya mengaku tunang lelaki itu. Mereka berusia antara 23 hingga 30 tahun dan kebanyakannya berstatus eksekutif," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa mengadu ditipu dengan modus operandi yang hampir sama, sekali gus meyakinkan pelakunya juga adalah orang yang sama.


"Kita sedang berusaha menjejak lelaki itu dan jika ada lagi 'tunangnya' yang lain di luar sana, mereka diminta buat laporan untuk kita siasat," katanya.


Gara-gara salah ubat



KUANG – Gara-gara tersalah makan ubat, ibu lima anak kini tergolong dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kiri dan jari kedua-dua belah tangan.

Sharifah Kisut, 52 mendakwa, semuanya berlaku Jun tahun lalu setelah memakan ubat gastrik diberi sebuah klinik kesihatan selepas mendapatkan rawatan akibat sakit perut, walhal mengakui tidak pernah mengalami menyaki tersebut sepanjang hayatnya.

“Saya dirawat seorang pembantu perubatan dan memberikan saya ubat gastrik dan sakit perut.

“Mulanya saya sangsi sebab saya syak sakit perut ini berpunca daripada batu karang yang saya hadapi, tetapi pihak klinik bertegas dan menyuruh saya makan ubat yang diberikan.

“Sebaik pulang saya terus makan ubat tersebut dengan harapan akan sembuh tetapi perkara sebaliknya berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gombak dekat sini.

Sharifah berkata, dia terpaksa dikejarkan ke hospital dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu selepas pengsan di rumahnya akibat pening memakan ubat tersebut

“Di hospital saya diberikan ubat tertentu, saya tidak pasti jenisnya tetapi keadaan bertambah teruk apabila apabila seluruh badan saya jadi kehitaman dan berlendir,” katanya

Difahamkan Sharifah turut mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang

Keadaannya berlarutan selama lima bulan menyebabkan kaki kirinya semakin membengkak dan busuk menyebabkan ianya terpaksa dipotong hingga ke paras peha kerana khuatir ianya akan merebak dan merosakkan organ penting seperti jantung.

“Selepas itu dua jari tangan kanan saya juga terpaksa menerima nasib yang sama terpaksa dipotong kerana sudah membengkak manakala dua jari tangan kirinya mereput dan terputus begitu sahaja,” katanya

Sejak daripada itu dia terpaksa berulang alik ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan selain menjalani hemodialisis.

Sharifah kini bergerak menggunakan kaki palsu dan kerusi roda sumbangan pihak hospital dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang.

Pelajar dibelasah teman lelaki



KOTA BHARU – Seorang pelajar perempuan tidak sempat menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara cawangan Machang akhir Disember ini kerana sudah lapan hari koma apabila dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya.

Hizrien Ieraqeen Haberi, 21, pelajar semester akhir Diploma Perbankan itu dipercayai dipukul oleh teman lelakinya yang dikenali sebagai ‘Lan’ berasal dari Tumpat di rumah sewanya pada Khamis lalu jam kira-kira 10.30 malam.

Bapanya, Haberi Hamzah, 49, berkata, mengikut apa diceritakan salah seorang rakan anaknya itu, teman lelaki anaknya datang ke rumah sewa tersebut untuk mengambil barangan yang pernah diberikan kepada Hizrien.

“Tiba-tiba lelaki tersebut yang pada awalnya berdiri di pintu masuk rumah meluru masuk ke dalam bilik Hizrien ketika anak saya hendak mengambil barang tersebut dan menutup pintu bilik tersebut.

“Kemudian rakan-rakannya terdengar suara Hizrien mengadu kesakitan, dan tiba-tiba lelaki itu keluar meluru dari bilik dan melarikan diri,’’ katanya ketika ditemui di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini semalam.

Beliau yang bekerja sebagai juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UMK) berkata, mengikut siasatan polis, teman lelaki Hizrien dipercayai menghentak kepala anaknya itu beberapa kali ke lantai dalam keadaan anaknya terbaring.

Haberi berkata, tiada pendarahan yang kuat berlaku tetapi menurut pihak hospital anaknya itu mengalami luka dalaman teruk hingga diklasifikasikan berada di tahap keempat yang tidak stabil dan memerlukan masa sehingga tiga atau empat bulan untuk sedar dari koma.

Menurutnya yang menetap di Semenyih, Selangor, rakan-rakan anaknya telah pun membuat laporan di Balai Polis Machang dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mencari lelaki yang berusia 25 tahun itu.

“Sekarang ini saya bercuti panjang, dan isteri saya pun mengambil cuti mengajar tanpa gaji bagi menjaga anak sulung kami ini,’’ katanya yang mempunyai empat orang anak.

Sementara itu, Pegawai Khas Kepada Naib Canselor UiTM, Mohd Aizuddin Datuk Mohd Ghazali berkata, pihaknya memohon pihak polis jalankan siasatan terperinci agar pesalah itu dapat ditangkap dan menerima hukuman.

“Setakat ini keadaan Hizrien masih koma dan apa yang berlaku ini sangat dikesali dan kami berharap ia akan menjadi pedoman kepada pelajar lain,’’ katanya.

Turut hadir lawatan tersebut, Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Mohd Faizal Daud dan Pengerusi Biro IPT dan Kebajikan, Dr Ariff Hakimi Zulkifli.

Gadis Ditemui Mati Dalam Beg, Disahkan Mengalami Pendarahan Dalam Perut

Jumaat Oktober 29, 2010

KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Kelang semalam, disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata laporan bedah siasat yang diperolehi hari ini, mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek yang keras di perut.

"Selain pendarahan di perut, terdapat juga kesan lebam di muka mangsa, namun tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang telah mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata tiga keluarga telah hadir ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu.

"Setakat ini, tiga keluarga yang terdiri daripada keluarga Melayu dan Indonesia telah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga masing-masing. Tetapi selepas pengecaman dibuat, mayat itu bukan ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya polis juga tidak menerima sebarang laporan terbaru berhubung kehilangan anggota keluarga daripada mana-mana pihak susulan kejadian itu.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada penemuan terbaru ditemui oleh polis di lokasi kejadian," kata Abdul Jalil.

Dalam kejadian itu, mayat gadis tersebut ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap.

Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan memandangkan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya.

Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui di dalam beg berkenaan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/29/mstar_jenayah/20101029173315&sec=mstar_jenayah

Awas Akaun Facebook Palsu Yana Samsudin

Jumaat Oktober 29, 2010

Yana Samsudin

PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin, 26, meluahkan kebimbangan dengan ancaman daripada orang yang menyamar sebagai dirinya dalam akaun palsu di Facebook.

Menurut Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu, sejak dia mula mendekati para peminat menerusi laman sosial itu pada 1 Ogos lalu, seseorang yang tidak dikenali telah menyamar dan mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan peminat.

"Saya mendaftarkan akaun di laman sosial Facebook sejak 1 Ogos lalu namun, baru-baru ini saya mendapat tahu ada orang lain menyamar sebagai diri saya dan menggunakan nama yang sama untuk berinteraksi dengan peminat. Sebab itu, saya perlu menjelaskan kepada umum untuk mengelakkan kekeliruan dengan akaun Yana 'palsu' itu," katanya.

Pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit itu berharap agar segala kekeliruan informasi dan perkembangan terbarunya yang dibaca oleh peminat pada akaun palsu itu dapat diatasi dengan pendedahan ini.

"Saya bimbang jika peminat yang mengikuti akaun palsu tersebut akan mendapat info dan perkembangan yang salah tentang saya. Maklumlah zaman sekarang ini, macam-macam perkara boleh berlaku.

"Jadi, apabila saya mendapat tahu ada seseorang cuba menyamar sebagai diri saya dan turut mendaftarkan nama yang sama, saya terpaksa buka akaun baru. Saya harap selepas ini tiada lagi kekeliruan berlaku ekoran masalah ini," katanya.

Para peminat yang ingin mengetahui sebarang informasi dan perkembangan aktres dari Yong Peng, Johor ini bolehlah melayari yanasamsudin.blogspot.com atau facebook.com.yanasamsudin.fanpage.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/29/mstar_hiburan/20101027215017&sec=mstar_hiburan

Ular paling panjang di zoo mati


GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan ular sawa sepanjang 7.3 meter di Zoo Columbus, Ohio.


COLUMBUS, Ohio - Seekor ular sawa yang paling panjang di Zoo Columbus di sini ditemui mati pada pagi kelmarin kerana menghidap tumor.

Haiwan sepanjang 7.3 meter yang diberi nama Fluffy dan seberat 136 kilogram itu disenaraikan dalam Guinness World of Records sebagai ular paling panjang pernah tinggal dalam zoo.

Ular berusia 18 tahun itu berjaya menarik minat kehadiran ramai pengunjung di zoo tersebut sejak ia dipamerkan pada 2007.

Ular sawa paling panjang yang pernah direkodkan ialah sepanjang 9.9 meter yang mati dibunuh pada 1912 di Indonesia. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Identiti penyanyi dicuri di Facebook

LONDON - Seorang penyanyi di Britain, Carolyn Owlett trauma setelah identitinya di laman jaringan sosial Facebook dicuri oleh orang lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Kes penipuan identiti itu terbongkar selepas seorang lelaki, Regis Remacle yang tidak dikenalinya tiba-tiba memanggil Carolyn, 26, semasa dia berada di sebuah stesen tren bawah tanah dan mengaku menyintainya pada minggu lalu.

"Saya tidak menghadapi masalah sehinggalah Jun lepas apabila saya menerima mesej cinta daripada Remacle. Saya turut menerima beberapa mesej lucah daripada beberapa lelaki di Afrika dan Turki," katanya.

Selepas mereka saling menceritakan perkara yang sebenarnya, Remacle kemudian menghubungi penyamar berkenaan di Facebook dan mendesak supaya dia mendedahkan identitinya.

Pencuri identiti itu yang merupakan seorang wanita di Belgium dikenali sebagai Kristella Erbicella, 21, kemudian memohon maaf kepada Carolyn dan teman lelakinya.

Dia membuka akaun e-mel dan Facebook dengan menggunakan nama Carolyn dan mengambil 2,000 gambarnya di Internet selain menipu rakan-rakan serta keluarga Carolyn supaya menjadi rakannya di Facebook.

Banyak gambar Carolyn beredar di Internet kerana dia seorang penerbit dan penyampai televisyen selain pernah menganggotai sebuah kumpulan pop agak popular pada 2004, The 411.

Penyamar itu menggunakan gambar dan maklumat peribadi Carolyn untuk menjalin hubungan cinta siber dengan Remacle.

"Sukar saya untuk mempercayainya. Perbuatan Erbicella menakutkan saya. Dia menjadikan saya dan Remacle seolah-olah pasangan kekasih tetapi realitinya kami tidak pernah bertemu," ujar Carolyn. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Nissan tarik lebih 2.1 juta kenderaan buatannya di seluruh dunia


GAMBAR menunjukkan kereta Tida keluaran Nissan Motor.


TOKYO - Syarikat pengeluar kereta Jepun, Nissan Motor semalam mengumumkan ia memanggil semula lebih 2.1 juta kenderaan di seluruh dunia kerana kerosakan pada sistem kawalan enjin.

Dalam satu laporan kepada kementerian pengangkutan Jepun, Nissan memberitahu, ia akan menukar bahagian yang rosak secara percuma untuk model-model terbabit ekoran kerosakan tersebut mungkin menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba.

Di Jepun sahaja, Nissan akan memanggil semula sejumlah 834,759 unit kenderaan membabitkan sembilan model termasuk Cube, March dan Tida yang dikeluarkan antara tahun 2003 dan 2006. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Gunung Merapi meletus kali kedua


SEJUMLAH orang menghadiri pengebumian mangsa-mangsa Gunung Merapi di Sidorejo, Sleman, di tengah Jawa semalam.


YOGYAKARTA – Gunung Merapi dekat sini meletus buat kali kedua semalam dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.

Kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.

“Awan panas muncul kembali, setelah pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa lepas,” kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo semalam seperti dilaporkan agensi berita Bernama.

Awan panas itu, katanya, masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.

Dalam kejadian letusan sejak petang Selasa lepas, 33 orang telah terbunuh termasuk Jurukunci Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.

Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 kilometer jauhnya.

Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.

Mangsa-mangsa yang terkorban akibat terkena debu panas dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.

Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan di Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman semalam manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.

Akhbar Kompas.com berkata, keranda kayu yang membawa jenazah Mbah Maridjan dipecahkan oleh penggali kubur sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.

Mbah Maridjan ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di rumahnya dekat Gunung Merapi di Kampung Kinahrejo selepas dia enggan berpindah atas alasan menjaga amanah menjaga gunung tersebut selepas dilantik oleh Sultan Jogja.

Sementara itu, angka kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera meningkat kepada 343 orang selepas lebih banyak mayat ditemui.

Tsunami itu berlaku pada Isnin lalu selepas berlakunya gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Awan panas luar biasa




SEBAGAI pengarang kanan yang mengetuai pasukan laporan khas portal berita Vivanews.com, jiwa wartawan Yuniawan Wajyu Nughroho untuk memperoleh rencana-rencana eksklusif sentiasa membara. Ketika Yogyakarta berdepan dengan ancaman letusan Gunung Merapi, Yuniawan enggan ketinggalan mendapatkan bahan-bahan menarik.

Empat tahun lalu Yuniawan pernah mewawancara warga emas yang dianggap sebagai penjaga Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83. Kali ini dia mahu bertemu semula dengan lelaki tersebut yang dianggap oleh ramai penduduk sebagai seorang yang boleh meramal letusan Merapi.

Namun, Yuniawan mungkin tidak menyangka bahawa petang Selasa lalu adalah perbualan terakhirnya dengan pengarangnya, Nezar Patria yang sempat menghubungi beliau. Nezar mengingatkan Yuniawan supaya berhati-hati dan meninggalkan kawasan terbabit sekiranya mendengar siren kecemasan.

Sekitar pukul 7 malam, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto memaklumkan kemungkinan Yuniawan dalam kebahaya.

Menurut Rini, perbualannya dengan Yuniawan sekitar pukul 6 petang terputus. Rupa-rupanya itu adalah panggilan telefon terakhir Yuniawan.

Kira-kira pukul 10.42 malam, Vivanews menerima panggilan daripada seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi. Mereka menemui kad pengenalan Yuniawan. Beliau disahkan sebagai salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.

Debu-debu volkanik

Selain orang ramai, wartawan Yuniawan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa korban Merapi. Sejak beberapa hari lalu, awan panas dan debu-debu vulkanik dimuntahkan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, yang memaksa ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu berpindah mencari tempat perlindungan.

Perkampungan di sekitar lereng gunung berapi yang dahulunya menghijau dengan tanaman pertanian yang subur telah berubah wajah menjadi kelabu apabila diselimuti debu-debu vulkanik.

Bahkan, letusan Gunung Merapi tersebut mencetuskan rasa panik di kalangan penduduk setempat yang ingin mendapat perlindungan daripada debu-debu vulkanik dan awan panas yang melanda kawasan penempatan mereka.

Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter meletus selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung tersebut akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.


SUKARELAWAN mengangkut mayat-mayat yang menjadi mangsa awan panas Gunung Merapi.


Ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo berkata, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu supaya bersedia untuk pemindahan segera.

Terdapat kira-kira 40,000 penduduk yang menetap berhampiran gunung paling aktif di Indonesia itu bahkan penduduk itu sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.

Kebanyakan penduduk tempatan juga dipercayai masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti mengusahakan ladang dan memberi makan haiwan ternakan sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua ahli vulkanologi, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku sebelum waktu senja.

Sebelum letusan berlaku, gunung itu terlebih dahulu telah mengeluarkan bunyi menderam dan asap tebal selama beberapa jam.

“Kita dapat mendengar bunyi deraman yang sangat kuat bagaikan badai selama beberapa ketika. Kemungkinan bunyi berkenaan berlaku selama 15 minit.

“Selepas itu kelihatan kepulan debu panas besar mula dikeluarkan ke udara dari Gunung Merapi,” kata seorang petani yang masih belum meninggalkan rumahnya di kawasan cerun gunung berapi itu ketika ia meletus.

Muntahan awan panas

Penduduk setempat juga memaklumkan bahawa mereka ada terbau belerang yang sangat kuat sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

“Tenaganya meningkat... kami berharap ia akan reda perlahan-lahan.

“Jika tidak kita akan melihat satu letusan yang besar, lebih besar daripada apa yang kita lihat semasa ia meletus beberapa tahun lalu,” kata ahli vulkanologi kerajaan, Surono.

Dalam pada itu, pegawai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Vulkanik Yogjakarta (BPPTK), Agung Nandaka berkata, sukar bagi penduduk yang berada lima kilometer dari puncak gunung berkenaan untuk berpindah sebelum berlaku muntahan awan panas.

“Ini kerana ia panas dan mempunyai kelajuan yang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang bayi berusia dua bulan telah terkorban dalam letusan berkenaan, manakala 20 lagi cedera apabila gunung itu mula meletus.

Bayi tersebut yang tidak diketahui jantinanya mati semasa didukung ibunya ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Stesen televisyen swasta, Metro TV melaporkan, mayat bayi itu telah dihantar ke hospital berdekatan.

Seorang wartawan agensi berita berkata, kebanyakan yang cedera akibat terkena debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi melecur teruk.

Selain itu, pasukan penyelamat telah menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan di Cangkringan daerah Sleman. Mbah Maridjan merupakan Jurukunci Merapi sejak awal tahun 1980-an.


PENDUDUK kampung yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi beratur untuk mendapatkan makanan.


Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat enggan mengesahkan mayat Jurukunci Merapi berkenaan adalah antara 15 mayat yang ditemui sehingga hasil ujian asid deoksiribonukleik ( DNA ) diperoleh.

Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati.

Merapi yang membawa erti Gunung Api biasanya mengalami letusan-letusan kecil pada setiap dua atau tiga tahun dan akan mengeluarkan laharnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus adalah pada tahun 2006 apabila ia mengeluarkan gas dan serpihan batu menyebabkan dua orang terkorban.

Pada tahun 1994, letusan Gunung Merapi lebih dahsyat berbanding tahun 2006 apabila ia mengakibatkan 60 orang maut.

Pada tahun 1930, ia telah mengorbankan 1,300 orang manakala lebih satu dozen perkampungan musnah.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi terletaknya pertemuan lapisan-lapisan benua yang menyebabkan kekerapan berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi. Negara itu dikatakan mempunyai lebih 120 buah gunung berapi yang aktif.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...