Friday, October 29, 2010

Gadis Ditemui Mati Dalam Beg, Disahkan Mengalami Pendarahan Dalam Perut

Jumaat Oktober 29, 2010

KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Kelang semalam, disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata laporan bedah siasat yang diperolehi hari ini, mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek yang keras di perut.

"Selain pendarahan di perut, terdapat juga kesan lebam di muka mangsa, namun tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang telah mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata tiga keluarga telah hadir ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu.

"Setakat ini, tiga keluarga yang terdiri daripada keluarga Melayu dan Indonesia telah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga masing-masing. Tetapi selepas pengecaman dibuat, mayat itu bukan ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya polis juga tidak menerima sebarang laporan terbaru berhubung kehilangan anggota keluarga daripada mana-mana pihak susulan kejadian itu.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada penemuan terbaru ditemui oleh polis di lokasi kejadian," kata Abdul Jalil.

Dalam kejadian itu, mayat gadis tersebut ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap.

Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan memandangkan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya.

Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui di dalam beg berkenaan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/29/mstar_jenayah/20101029173315&sec=mstar_jenayah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...