Friday, October 29, 2010

Awan panas luar biasa




SEBAGAI pengarang kanan yang mengetuai pasukan laporan khas portal berita Vivanews.com, jiwa wartawan Yuniawan Wajyu Nughroho untuk memperoleh rencana-rencana eksklusif sentiasa membara. Ketika Yogyakarta berdepan dengan ancaman letusan Gunung Merapi, Yuniawan enggan ketinggalan mendapatkan bahan-bahan menarik.

Empat tahun lalu Yuniawan pernah mewawancara warga emas yang dianggap sebagai penjaga Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83. Kali ini dia mahu bertemu semula dengan lelaki tersebut yang dianggap oleh ramai penduduk sebagai seorang yang boleh meramal letusan Merapi.

Namun, Yuniawan mungkin tidak menyangka bahawa petang Selasa lalu adalah perbualan terakhirnya dengan pengarangnya, Nezar Patria yang sempat menghubungi beliau. Nezar mengingatkan Yuniawan supaya berhati-hati dan meninggalkan kawasan terbabit sekiranya mendengar siren kecemasan.

Sekitar pukul 7 malam, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto memaklumkan kemungkinan Yuniawan dalam kebahaya.

Menurut Rini, perbualannya dengan Yuniawan sekitar pukul 6 petang terputus. Rupa-rupanya itu adalah panggilan telefon terakhir Yuniawan.

Kira-kira pukul 10.42 malam, Vivanews menerima panggilan daripada seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi. Mereka menemui kad pengenalan Yuniawan. Beliau disahkan sebagai salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.

Debu-debu volkanik

Selain orang ramai, wartawan Yuniawan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa korban Merapi. Sejak beberapa hari lalu, awan panas dan debu-debu vulkanik dimuntahkan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, yang memaksa ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu berpindah mencari tempat perlindungan.

Perkampungan di sekitar lereng gunung berapi yang dahulunya menghijau dengan tanaman pertanian yang subur telah berubah wajah menjadi kelabu apabila diselimuti debu-debu vulkanik.

Bahkan, letusan Gunung Merapi tersebut mencetuskan rasa panik di kalangan penduduk setempat yang ingin mendapat perlindungan daripada debu-debu vulkanik dan awan panas yang melanda kawasan penempatan mereka.

Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter meletus selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung tersebut akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.


SUKARELAWAN mengangkut mayat-mayat yang menjadi mangsa awan panas Gunung Merapi.


Ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo berkata, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu supaya bersedia untuk pemindahan segera.

Terdapat kira-kira 40,000 penduduk yang menetap berhampiran gunung paling aktif di Indonesia itu bahkan penduduk itu sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.

Kebanyakan penduduk tempatan juga dipercayai masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti mengusahakan ladang dan memberi makan haiwan ternakan sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua ahli vulkanologi, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku sebelum waktu senja.

Sebelum letusan berlaku, gunung itu terlebih dahulu telah mengeluarkan bunyi menderam dan asap tebal selama beberapa jam.

“Kita dapat mendengar bunyi deraman yang sangat kuat bagaikan badai selama beberapa ketika. Kemungkinan bunyi berkenaan berlaku selama 15 minit.

“Selepas itu kelihatan kepulan debu panas besar mula dikeluarkan ke udara dari Gunung Merapi,” kata seorang petani yang masih belum meninggalkan rumahnya di kawasan cerun gunung berapi itu ketika ia meletus.

Muntahan awan panas

Penduduk setempat juga memaklumkan bahawa mereka ada terbau belerang yang sangat kuat sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.

“Tenaganya meningkat... kami berharap ia akan reda perlahan-lahan.

“Jika tidak kita akan melihat satu letusan yang besar, lebih besar daripada apa yang kita lihat semasa ia meletus beberapa tahun lalu,” kata ahli vulkanologi kerajaan, Surono.

Dalam pada itu, pegawai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Vulkanik Yogjakarta (BPPTK), Agung Nandaka berkata, sukar bagi penduduk yang berada lima kilometer dari puncak gunung berkenaan untuk berpindah sebelum berlaku muntahan awan panas.

“Ini kerana ia panas dan mempunyai kelajuan yang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang bayi berusia dua bulan telah terkorban dalam letusan berkenaan, manakala 20 lagi cedera apabila gunung itu mula meletus.

Bayi tersebut yang tidak diketahui jantinanya mati semasa didukung ibunya ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Stesen televisyen swasta, Metro TV melaporkan, mayat bayi itu telah dihantar ke hospital berdekatan.

Seorang wartawan agensi berita berkata, kebanyakan yang cedera akibat terkena debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi melecur teruk.

Selain itu, pasukan penyelamat telah menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan di Cangkringan daerah Sleman. Mbah Maridjan merupakan Jurukunci Merapi sejak awal tahun 1980-an.


PENDUDUK kampung yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi beratur untuk mendapatkan makanan.


Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat enggan mengesahkan mayat Jurukunci Merapi berkenaan adalah antara 15 mayat yang ditemui sehingga hasil ujian asid deoksiribonukleik ( DNA ) diperoleh.

Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati.

Merapi yang membawa erti Gunung Api biasanya mengalami letusan-letusan kecil pada setiap dua atau tiga tahun dan akan mengeluarkan laharnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus adalah pada tahun 2006 apabila ia mengeluarkan gas dan serpihan batu menyebabkan dua orang terkorban.

Pada tahun 1994, letusan Gunung Merapi lebih dahsyat berbanding tahun 2006 apabila ia mengakibatkan 60 orang maut.

Pada tahun 1930, ia telah mengorbankan 1,300 orang manakala lebih satu dozen perkampungan musnah.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi terletaknya pertemuan lapisan-lapisan benua yang menyebabkan kekerapan berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi. Negara itu dikatakan mempunyai lebih 120 buah gunung berapi yang aktif.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...