LONDON - Seorang penyanyi di Britain, Carolyn Owlett trauma setelah identitinya di laman jaringan sosial Facebook dicuri oleh orang lain, lapor sebuah akhbar semalam.
Kes penipuan identiti itu terbongkar selepas seorang lelaki, Regis Remacle yang tidak dikenalinya tiba-tiba memanggil Carolyn, 26, semasa dia berada di sebuah stesen tren bawah tanah dan mengaku menyintainya pada minggu lalu.
"Saya tidak menghadapi masalah sehinggalah Jun lepas apabila saya menerima mesej cinta daripada Remacle. Saya turut menerima beberapa mesej lucah daripada beberapa lelaki di Afrika dan Turki," katanya.
Selepas mereka saling menceritakan perkara yang sebenarnya, Remacle kemudian menghubungi penyamar berkenaan di Facebook dan mendesak supaya dia mendedahkan identitinya.
Pencuri identiti itu yang merupakan seorang wanita di Belgium dikenali sebagai Kristella Erbicella, 21, kemudian memohon maaf kepada Carolyn dan teman lelakinya.
Dia membuka akaun e-mel dan Facebook dengan menggunakan nama Carolyn dan mengambil 2,000 gambarnya di Internet selain menipu rakan-rakan serta keluarga Carolyn supaya menjadi rakannya di Facebook.
Banyak gambar Carolyn beredar di Internet kerana dia seorang penerbit dan penyampai televisyen selain pernah menganggotai sebuah kumpulan pop agak popular pada 2004, The 411.
Penyamar itu menggunakan gambar dan maklumat peribadi Carolyn untuk menjalin hubungan cinta siber dengan Remacle.
"Sukar saya untuk mempercayainya. Perbuatan Erbicella menakutkan saya. Dia menjadikan saya dan Remacle seolah-olah pasangan kekasih tetapi realitinya kami tidak pernah bertemu," ujar Carolyn. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm
No comments:
Post a Comment