Wednesday, October 22, 2008

Sedia kerusi untuk Rasulullah

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang mempelajari ilmu perubatan Islam tergamam apabila seorang daripada mereka membawa berita menggemparkan dengan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. dan wali Allah lain akan muncul di padang sebuah taman permainan di Petaling Jaya di sini.

Lelaki berusia 20 tahun terbabit mendakwa, dia mendapat ‘wahyu’ daripada Allah kononnya Rasulullah akan muncul di lokasi berkenaan menyebabkan 10 rakannya terpengaruh untuk menatap wajah Nabi Muhammad mengikutnya ke padang itu, pada jam 1 pagi, baru-baru ini.

Bagi meyakinkan mereka, lelaki yang dikenali sebagai Ramli itu meletakkan sebuah kerusi di tengah padang kononnya untuk diduduki Nabi Muhammad.

Beberapa minit selepas kerusi diletakkan, Ramli membisikkan sesuatu kepada rakan mendakwa Nabi Muhammad sudah datang dan duduk di kerusi berkenaan sebelum mereka menangis beramai-ramai.


Bagaimanapun, kejadian aneh itu menimbulkan syak wasangka kepada seorang pelajar ilmu perubatan Islam itu apabila dia tidak nampak sebarang objek atau kelibat manusia di kerusi berkenaan.


Melihat kegiatan itu boleh menyesatkan akidah, lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Iskandar, 24, segera meninggalkan kumpulan berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut pembabitannya dengan kumpulan itu, Iskandar berkata dia seorang daripada pelajar ilmu perubatan Islam di rumah sepasang suami isteri yang juga pengamal perubatan alternatif di sebuah rumah di Petaling Jaya.

“Ada kira-kira 30 lelaki termasuk saya mempelajari ilmu perubatan. Kami yang masing-masing berusia 18 hingga 40 tahun sering berkumpul di rumah itu pada waktu malam,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, kira-kira empat bulan lalu, ada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Ramli datang berubat.

“Seminggu selepas itu, dia datang semula ke rumah tempat kami belajar dan memberitahu niatnya untuk turut mempelajari ilmu perubatan Islam.

“Dia nampak seperti biasa saja, namun seminggu kemudian, kami terkejut apabila dia mendakwa dianugerahkan ‘keistimewaan’ apabila boleh menilik nasib serta mengetahui masa lampau seseorang.

“Ketika itu kami percaya dengannya kerana semua tekaannya tepat,” katanya.

Iskandar bagaimanapun mula sangsi apabila Ramli memberitahu kononnya dia juga boleh mengampunkan dosa.

“Setiap hari Ramli akan membicarakan perkara yang memesongkan akidah termasuk mendakwa wali Allah dan Nabi Muhammad datang ke rumah tempat kami berkumpul.

“Yang peliknya, ada antara kami percaya dan disebabkan itu saya dan sembilan rakan lain sanggup mengikutnya ke padang selepas dia memberitahu wali Allah dan Rasulullah akan muncul di sana.

“Saya terkejut apabila rakan menangis teresak-esak sambil berdoa dan berzikir selepas Ramli memberitahu mereka kononnya Nabi Muhammad sudah duduk di atas kerusi berkenaan.

“Namun, saya langsung tidak nampak dan tersedar semua itu boleh memesongkan akidah,” katanya.

Iskandar yang sudah insaf, berkata dia difahamkan, rumah tempat dia pernah berkumpul untuk mempelajari ilmu perubatan Islam, kini tidak lagi berpenghuni.


http://www.hmetro.com.my/22102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...