Monday, November 3, 2008

Artritis usia muda

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
hamzah.abdulhamid@kosmo.com.my




KOMPLIKASI artritis yang tidak diberi rawatan sewajarnya boleh mengakibatkan kecacatan kekal seperti yang terlihat pada jari tangan kanak-kanak ini.

--------------------------------------------------------------------------------

CUBA kenal pasti dan lebih sensitif terhadap aduan anak-anak anda yang mengatakan mereka berasa sakit di bahagian sendi kaki atau tangan. Perhatikan juga jika perilaku mereka berubah, mengalami demam berpanjangan atau sering tidak mahu menggunakan tangan dalam melakukan urusan harian.

Ramai antara kita pasti menganggap aduan dan situasi itu sekadar perubahan mood kanak-kanak, ataupun kesakitan akibat kecederaan biasa atau kerana terlalu banyak aktiviti fizikal.

Fikirkan semula! Anak-anak yang mengadu tentang rasa sakit di bahagian sendi boleh disebabkan oleh banyak perkara. Kalau kesakitan itu hanya sementara, ia bukan suatu yang serius.


KAKI kiri kanak-kanak ini kelihatan lebih panjang berbanding kaki kiri kerana masalah atritis di lutut.

--------------------------------------------------------------------------------

Namun, jika ia berulang dengan kerap dan kebengkakan itu berterusan sehingga enam minggu atau lebih, anak anda mungkin menghidap artritis idiopatik juvenil (JIA).

“Seorang dalam seribu kanak-kanak boleh menghidap artritis. Ia juga adakalanya dirujuk sebagai artritis reumatoid juvenil (JRA) atau artritis kronik juvenil (JCA), tetapi istilah tersebut sudah tidak digunakan lagi,” ujar Konsultan Reumatologi Pediatrik di Hospital Selayang, Dr. Tang Swee Ping.

Menurut Tang, perkataan juvenil itu merujuk kepada masalah artritis yang didiagnosis pada kanak-kanak di bawah usia 16 tahun. Idiopatik pula bermakna ketiadaan penyebab berlakunya penyakit tersebut.

“Ia merupakan penyakit autoimun. Ini bermakna tubuh pesakit bertindak balas dengan menyerang sel-sel dan tisu yang sihat. Seterusnya, artritis terjadi kerana masalah keradangan, dan diikuti dengan kekejangan, kerosakan dan perubahan pertumbuhan pada sendi,” ujarnya.

Tang menambah, tiada siapa dapat mengesahkan sebab berlakunya JIA. Malah ada antara teori yang mengaitkan tentang genetik kanak-kanak yang membuatkan mereka lebih cenderung untuk mendapat penyakit tersebut.


DR. TANG SWEE PING

--------------------------------------------------------------------------------

“Bagaimanapun, JIA bukan penyakit yang diwarisi. Maka adalah sesuatu yang sangat janggal jika lebih daripada seorang anak dalam keluarga menghidapnya.

“Ada juga diskusi perubatan yang menyebut bahawa kanak-kanak yang terdedah dalam persekitaran virus tertentu boleh mendapat penyakit ini,” terang Tang yang kurang bersetuju apabila penyakit ini dikaitkan dengan jangkitan.

Selain bukan penyakit berasaskan etnik, ia juga tidak disebabkan oleh kecederaan, tabiat mengambil diet atau makanan tertentu, kesan proses kehamilan atau kerana mendiami kawasan beriklim tertentu.

Namun hakikatnya ia tetap memerlukan perhatian serius. Dalam kes tertentu, simptom JIA adalah pada tahap ringan dan tidak merebak ke lebih banyak kemungkinan kesakitan sendi dan kecacatan fizikal.

“Kira-kira separuh daripada kanak-kanak yang menghidap JIA akan menderita artritis aktif 10 tahun selepas didiagnosis kecuali mereka menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya.



UPAYA pergerakan dan fungsi anggota tubuh kanak-kanak boleh terjejas akibat artritis juvenil.

--------------------------------------------------------------------------------

Dalam kes yang lebih teruk, JIA boleh menyebabkan kerosakan teruk pada sendi dan tisu. Ia juga boleh menjejaskan pertumbuhan tulang dan fizikal keseluruhannya. Kaitannya dengan penyakit osteoporosis juga menjadi nyata seiring usia pesakit tersebut yang memasuki alam dewasa.

“Antara kaedah rawatan yang biasa untuk pesakit JIA adalah dengan pemberian ubat-ubatan bukan steroid (untuk mengurangkan kesakitan), ubat steroid (melalui mulut atau disuntik), penyelesaian ubat antireumatik pengubah penyakit (DMARD) atau ubat biologik yang lebih maju bagi sasaran rawatan khusus,” jelas Tang.


ARTRITIS psoriatik dengan penyakit kulit aktif dan lutut yang membengkak.

--------------------------------------------------------------------------------

Selain daripada itu, rawatan fisioterapi dan penggunaan alat pendakap sendi juga membantu pesakit ‘melatih’ sendi mereka agar tidak hilang upaya pergerakan.

“Galakkan anak-anak anda supaya kerap melakukan senaman dan mengambil diet seimbang termasuk kalsium. Kebersihan mulut juga perlu diambil kira selain memberi sokongan emosi dan kaunseling,” ujarnya.


KEADAAN bengkak yang terjadi pada jari kaki kedua dan keempat.

--------------------------------------------------------------------------------

Walaupun simptom AJ boleh dirawat atau mungkin hilang bersama peningkatan usia, ia perlu diberi perhatian serius kerana ia menyerang secara berbeza dan menyulitkan penghidapnya dalam tempoh waktu tertentu.

“Biarpun punca dan penawarnya belum diketahui, dunia perubatan hari ini menyediakan kaedah rawatan yang boleh membantu pesakit,” pesan Tang.

Paling menyedihkan adalah apabila kualiti hidup seseorang kanak-kanak terjejas sepanjang hayat hanya kerana simptom-simptom awal yang tidak diendahkan.

INFO

Jenis Artritis Idiopatik Juvenil

SETIAP satunya diklasifikasi berdasarkan simptom, bilangan sendi yang terlibat, serta kehadiran antibodi tertentu dalam darah. Klasifikasi ini membantu para doktor meramal perkembangannya.

1. Pausiartikular / Oligoartritis
Hanya melibatkan bilangan sendi yang sedikit, ia biasanya berlaku di sendi lutut atau pergelangan kaki. Bahagian lain yang mungkin terkena adalah di pergelangan tangan. AJ jenis ini lazimnya akan menghilang perlahan-lahan dan jarang merebak ke bahagian jari.

Kira-kira separuh daripada kanak-kanak penghidap dikategorikan dalam pausiartikular. Kanak-kanak perempuan berusia kurang daripada lapan tahun lebih cenderung terhadapnya. Pada masa yang sama, beri perhatian jika anak-anak anda mengadu sakit di sekitar bahagian mata.

2. Poliartikular
Kes poliartikular lebih kerap dilaporkan berlaku di kalangan kanak-kanak perempuan. Ia menyerang lebih daripada lima bahagian sendi, daripada sendi yang besar hinggalah sendi yang kecil sama ada di tangan atau kaki. Biasanya, semua sendi yang terkena adalah di sebelah tubuh yang sama - di kanan atau di kiri.

Kanak-kanak dengan antibodi tertentu dalam darah, yang dipanggil faktor reumatoid IgM, boleh mendapat kesan penyakit AJ yang lebih serius. Doktor percaya ia jenis yang sama dengan artritis reumatoid di kalangan orang dewasa.

3. Sistemik
Artritis juvenil jenis ini menyebabkan kebengkakan, rasa sakit, ruam dan pergerakan yang terbatas sekurang-kurangnya di satu sendi. Organ dalaman seperti jantung, hati, limfa dan nodus limfa. Diagnosis ini diperkuatkan dengan demam yang mencapai suhu 38.9 darjah Celcius setiap hari dan selama dua minggu.

Peratusan kecil kanak-kanak yang menghidap AJ jenis ini di banyak bahagian sendi akan menghidap komplikasi itu hingga dewasa.

4. Artritis berkaitan entesitis
Keradangan entesis akibat artritis. Ia merujuk kepada bahagian tendon atau ligamen yang menghubungkan tulang. Antara simptom JIA jenis ini adalah kesakitan dan bengkak di bahagian tumit, kesakitan dan bengkak di bahagian ibu jari dan jari-jari lain.

5. Artritis psoriatik
Merujuk kepada keadaan radang pada sendi bagi pesakit yang menghidapi masalah psoriasis. Psoriasis adalah masalah kulit yang bertompok merah dan keras seakan-akan kesan lecur di bahagian tertentu tubuh. Walaupun tidak semua pesakit psoriasis akan menghidap artritis psoriatik, mereka perlu berhati-hati dengan diagnosis seterusnya.

SIMPTOM

- Rasa sakit ketika waktu pagi adalah simptom artritis lazim bagi orang dewasa. Biasanya, mereka akan terhincut-hincut ketika melangkah kerana kesakitan di sendi lutut. Kanak-kanak yang menghidap JIA pula boleh berlaku pada bila-bila masa selepas bangun daripada tidur, tidak kira siang atau malam.

- Kebengkakan dan rasa sakit. Terdapat pesakit yang mengalami bengkak nodus limfa hingga kelihatan bonjolan di bahagian leher atau bahagian-bahagian lain pada tubuh.

- Berlaku radang pada sendi dan terasa sakit apabila ditekan.

- Otot dan tisu lembut di sekitar sendi semakin lemah.

- Demam panas yang teruk serta ruam sementara yang berwarna merah jambu.

- Masalah pertumbuhan kanak-kanak yang disebabkan kecelaruan fasa membesar di bahagian sendi – terlalu perlahan atau cepat, laras sendi yang senget atau pembesaran tidak sekata. Pertumbuhan keseluruhan juga boleh terjejas.

- Iridosiklitis (radang di bahagian iris dan jasad siliari mata). Penghidap penyakit ini akan merasa sakit apabila melihat cahaya terang. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan mata yang kekal.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...