Monday, November 3, 2008

Sistem Tangkak hisap darah


Oleh JUNHAIRI ALYASA dan SHAWKATH AZDE
khas@kosmo,com.my




SEORANG lelaki melihat kad kutipan hutang ah long miliknya dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini ah long bergantung kepada faedah untuk mengaut keuntungan daripada mangsanya kini muncul Sistem Tangkak yang memastikan mangsa menjadi 'hamba' seumur hidup.

"Ia sungguh dahsyat kerana 'darah' mangsa akan dihisap hingga kering, peminjam akan dipastikan tidak dapat membayar hutangnya untuk satu jangka masa yang panjang," kata seorang ah long yang dikenali sebagai David dalam satu pertemuan dengan wartawan Kosmo! baru-baru ini.

Tujuan asal wartawan Kosmo! ialah untuk menyelami perangai ah long kenapa mereka sanggup mengganas demi mendapatkan hutang pinjaman tetapi kami disogok dengan cerita ini.

Kata David, menerusi sistem tersebut, ah long akan memastikan mangsa gagal membuat bayaran dan menyebabkan mangsa dikenakan faedah yang tinggi iaitu 20 peratus daripada jumlah pinjaman.

Apabila mangsa telah terjerat, satu lagi ah long dari syarikat yang sama akan menghubungi mangsa untuk menawarkan pinjaman wang bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Melalui janji manis yang ditawarkan, mangsa terpaksa meminjam lagi demi untuk membayar hutangnya dan keadaan yang sama berulang lagi apabila muncul ah long ketiga menawarkan pinjaman pada kadar yang lebih tinggi sedangkan hutang sebelumnya masih belum selesai.

Akhirnya peminjam terbabit akan berdepan dengan lima atau 10 orang ah long pada satu-satu masa dan ketika itu 'igauan ngeri' mangsa bermula.

Begitulah puncanya bagaimana pinjaman RM10,000 boleh menjadi hingga RM80,000 dalam tempoh sebulan!

Jelas David, sistem tersebut diasaskan sejak 10 tahun lalu oleh seorang ah long dari Tangkak, Johor kini mula popular di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Perak.

David yang pernah menjadi pengurus sebuah syarikat pinjaman wang yang mengamalkan sistem tersebut sehingga hari ini berkata, pemilik syarikat akan melantik beberapa orang pengurus lagi untuk melaksanakan sistem tersebut secara berkumpulan.

"Saya merupakan salah seorang pengurus dengan gaji yang sangat lumayan hingga mampu memperolehi pendapatan RM20,000 sehari," katanya.

"Tetapi pendapatan ini bergantung kepada jumlah yang dipinjam. Lagi banyak yang dipinjam, lagi banyak kami dapat.

"Selepas setahun saya mengikut sistem seperti ini, saya terpaksa berhenti kerana tidak tahan lagi, setiap hari terpaksa bergaduh dengan orang dan selalu kena tangkap dengan polis, mana boleh tahan, saya juga sudah ada keluarga," ujarnya.

Menurut David, antara permainan 'kotor' yang dipraktikkan ialah dengan mematikan telefon bimbit selepas tempoh bayar balik hutang tamat bagi menyukarkan peminjam untuk menghubungi mereka.

Pinjam sedikit tapi kena bayar berganda


--------------------------------------------------------------------------------

"SAYA hanya pinjam RM10,000 daripada seorang ah long tetapi terpaksa bayar balik RM80,000 kepada lima ah long dalam masa sebulan.”

Demikian pengakuan seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Shariff apabila terkena jerat Sistem Tangkak yang diamalkan oleh sekumpulan ah long yang beroperasi di kawasan Lembah Klang.

“Masa itu, saya bayar tunai harian sebanyak RM2,000 selama lima hari tetapi apabila saya buntu mencari wang itu, ada sahaja ah long lain yang timbul.

“Saya masih ingat hari terakhir untuk membayar ansuran, waktu itu ah long itu menelefon dan minta wang seawal 10 pagi atau saya dikenakan faedah sebanyak RM2,000.

“Tidak lama kemudian, ada ah long lain yang menelefon untuk menawarkan bantuan pinjaman dan saya dimaklumkan bahawa panggilan yang dibuat itu secara rambang sahaja.

Kerana terdesak dan bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya, dia terima bantuan yang ditawarkan itu.

Katanya lagi, hutang yang dipinjam itu melarat sehingga lima ah long dan jumlah itu berlipat ganda secara mendadak.


--------------------------------------------------------------------------------

JOSEPH mendakwa telah membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada seorang ah long untuk menjelaskan hutang akibat kekalahan dalam perjudian bola sepak.

“Kali pertama pinjam, saya boleh selesaikan dalam tempoh diberi oleh ah long. Masa itu, saya ingat pinjam RM2,000 dapat jumlah penuh tetapi cuma diberi RM1,600 sahaja.

‘Bila rasa mudah dapat duit untuk berjudi, saya pinjam lagi daripada ah long malangnya saya sering kalah menyebabkan hutang saya bertambah,” katanya.

Berikutan itu, ah long mula mengganggu di mana-mana termasuk di tempat kerja dan rumah kerana selalu lambat buat bayaran.

“Tiba-tiba, muncul ah long lain untuk membantu tetapi hutang masih gagal diselesaikan malah saya akhirnya terjerat dengan empat ah long,” jelasnya lagi.

Joseph bagaimana pun berjaya melepasi belenggu semua ah long terbabit dengan bantuan seluruh ahli keluarganya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...