Monday, November 3, 2008

Fadilah pulang hari ini


ABDUL AZEEZ (dua dari kanan) Ahmad (dua dari kiri) dan Mashitah tiba di Lapangan Terbang Selaparang, Mataram semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

MATARAM - Hasrat ibu bapa Noor Fadilah Ahmad, 18, untuk membawa pulang anak mereka ke Malaysia cerah apabila pihak Imigresen Indonesia bersetuju membenarkan gadis tersebut pulang hari ini.

Malah lebih menggembirakan, gadis tersebut tidak akan dikenakan sebarang tindakan daripada Kerajaan Indonesia atas kesalahan masuk ke negara ini secara haram pada 6 September lalu setelah dilarikan oleh seorang pemuda dari Lombok, Nasrudin Dahrom, 24.

Berita baik tersebut disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang memberitahu, kebenaran itu hasil rundingan hampir dua jam dengan pihak Imigresen Indonesia.

"Rundingan ini berjaya diselesaikan dengan semangat setia kawan di antara Malaysia dan Indonesia, malah Fadilah sendiri menyatakan kesediaan untuk pulang.

"Saya begitu optimis Fadilah sudah pasti akan pulang dan kita yakin untuk membawa dia pulang esok (hari ini) dan akan diketemukan dengan kedua ibu bapanya," katanya kepada pemberita di Jabatan Imigresen Daerah Mataram sini, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Azeez turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan misi membawa pulang Noor Fadilah berjaya.

"Saya gembira kerana ibu bapa Noor Fadilah turut bersungguh-sungguh malah pihak sekretariat konsisten untuk menyelamatkan Noor Fadilah dan membawanya pulang ke Malaysia, pegawai imigresen juga kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemerintah Malaysia," ujarnya.

Mengikut undang-undang Nombor 9 tahun 1992 tentang keimigrasian Indonesia, Fadilah boleh dikenakan hukuman penjara selama enam tahun atau denda Rp30 juta kerana masuk ke negara itu secara haram.

Fadilah yang sebelum ini didakwa telah dilarikan oleh Nasrudin, mendapat perhatian ramai pada 24 September lalu apabila bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, membuat laporan polis setelah mendapat tahu anaknya itu dilarikan oleh pemuda tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...