Monday, November 3, 2008

Beras lebih murah

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



SEORANG pekerja Fadlul mengangkat beras super tempatan yang dijual RM28 untuk 10 kilogram di kedainya di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Orang ramai bakal menikmati beras import yang lebih murah dalam tempoh seminggu dua ini ekoran kesediaan pemborong menurunkan harga bahan makanan ruji itu.

Menurut seorang peruncit, Fadlul V.N. Muhamed, 55, penurunan harga itu telah dimaklumkan oleh beberapa pemborong kepadanya baru-baru ini dan perubahan itu pastinya akan melegakan para pelanggannya.

"Mereka (pemborong) kata, ia berlaku disebabkan oleh harga beras di pasaran dunia semakin murah dari sehari ke sehari dan oleh kerana itu tiada sebab untuk mereka tak turunkan harga," katanya ketika ditemui di premis di sini semalam.

Ditanya berapakah peratusan penurunan setiap beras import nanti, kata beliau: "Mungkin setiap sekilogram (kg) akan turun 50 sen iaitu kira-kira 18 peratus murah daripada harga asal."

Ketika ini bagi harga beras import seperti beras Siam sekilogram adalah RM2.80, beras Jasmine (RM2.80) sementara bagi harga beras pulut adalah RM3.50 sekilogram.

Perkembangan yang sama turut berlaku di beberapa pasar raya di sini apabila setiap wakil pasar raya besar memaklumkan, bebanan harga beras mahal di pasaran kini mungkin akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Saya turut difahamkan, ia berlaku didorong oleh prestasi harga beras global yang kian murah namun pelaksanaannya bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.

"Selepas ini, setiap lapisan masyarakat mampu menikmati beras import kerana harganya bakal setara dengan harga beras tempatan," kata jurucakap sebuah pasar raya di sini.

Merujuk kepada pasaran semasa, harga beras import telah menurun kepada AS$700 (RM2,380) setan metrik berbanding AS$1,150 dan trend dijangka berterusan dari semasa ke semasa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...