Monday, November 3, 2008

Pernah minta kek coklat

Menyertai persatuan Kechara Soup Kitchen (KSK) mengagihkan makanan kepada golongan merempat dan kutu rayau di sekitar Kuala Lumpur sememangnya satu pengalaman yang menginsafkan. Ikuti laporan wartawan AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN dan jurufoto NASIRRUDDIN YAZID.


--------------------------------------------------------------------------------

TANPA selipar, kaki kurusnya yang penuh dengan parut dan kudis melangkah longlai tidak bermaya. Sambil menguis-nguis kaki, matanya melilau mencari sesuatu di atas kaki lima bangunan Bangkok Bank, di tengah ibu kota Kuala Lumpur itu. Berada dalam dunia tersendiri, apa jua yang berlaku di sekelilingnya tidak diambil pusing.

"Pakcik lapar? Nak makan?" sapa seorang wanita dengan ramah.

"Saya hendak air, dahaga sangat rasanya," balasnya dalam loghat Hokkien. Entah bila kali terakhir dia menjamah makanan, tiada siapa yang tahu.

Ruby kemudiannya bergegas mengambil satu plastik berwarna oren, membuka ikatannya dan menghulurkan sebotol air mineral. Dengan tangan menggeletar, air jernih itu diteguk perlahan. Dia tersenyum, menyerlahkan gusinya yang kosong.

Berbaju kemeja belang putih, busananya hari itu dipadankan dengan sehelai seluar pendek lusuh berwarna kelabu. Manakala seutas tali rafia mengikat pinggangnya agar seluar itu tidak terlondeh. Satu gambaran lumrah seorang lelaki malang yang hidup bergelandangan di jalanan kota besar, Kuala Lumpur.

Ruby memandang penuh belas. Biarpun sebak, hatinya puas kerana misinya hari itu berhasil, memberikan makanan kepada golongan merempat atau si kutu rayau.

Sementara tidak jauh dari situ, sekumpulan lelaki mula kecoh-kecoh berdiri dalam satu barisan. Mereka sudah tahu, sekejap lagi bungkusan berisi makanan akan diberi oleh sukarelawan yang entah dari mana datangnya. Siapa peduli? Janji dapat makanan percuma.



SEBAHAGIAN besar daripada mereka yang beratur meminta makanan ini bukannya daripada golongan merempat atau kutu rayau.

--------------------------------------------------------------------------------

Namun, sebahagian besarnya berpakaian kemas, ada yang lengkap dengan kasut kulit dan jam tangan. Sekali pandang pun sudah tahu mereka bukan orang miskin merempat, cuma oportunis yang mahu menjimatkan wang beberapa ringgit untuk membeli juadah makan malam.

Suasana semakin hangat dan tidak terkawal, tiba-tiba terdengar suara menjerit seperti ingin bergaduh apabila ada yang cuba memotong barisan. Dalam masa kurang 10 minit, semua bungkusan plastik oren itu habis diagihkan.

Itulah rutin mingguan yang dilakukan oleh Ruby Khong, Sharon Saw, Justin Cheah dan rakan-rakan menerusi persatuan yang digelar Kechara Soup Kitchen (KSK).

Sebenarnya, Kechara Soup Kitchen (KSK) diasaskan oleh seorang guru Buddha, Tsem Tulku Rinpoche yang pernah melalui perjalanan hidup di jalanan merempat di Amerika Syarikat (AS).

Menyedari kesengsaraan golongan tersebut, Rinpoche mula memberi makanan kepada mereka. Kemudiannya, ajaran itu terus diamalkan oleh anak-anak muridnya di sini.

Mula bergerak aktif sejak dua tahun lalu, KSK sedaya upaya menyediakan makanan percuma kepada golongan merempat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, mahupun kepercayaan. Misi mencari kutu rayau ini dibuat di beberapa lokasi termasuklah di Jalan Pudu, Pasar Pudu, Chow Kit dan Masjid Jamek.



--------------------------------------------------------------------------------

Sebenarnya, sumbangan itu merupakan langkah pertama dalam membina hubungan dan kepercayaan dengan si kutu rayau sebelum membantu mereka untuk keluar dari kehidupan di jalanan yang menakutkan.

"Bukan mudah untuk berbual kerana mereka bersikap sangat sangsi kepada orang asing berikutan telah melalui banyak pengalaman pahit. Jadi, kami perlu membina rasa percaya selama berbulan-bulan, mengenali mereka dan memberi bantuan sewajarnya," kata Sharon yang bertindak selaku Naib Presiden KSK.

Percaya atau tidak, biarpun golongan kutu rayau ini sering kelaparan dan terbiar, bukan semuanya sudi menerima sumbangan yang diberi. Sebab itulah jika ada yang tidak mahu mengambil makanan, Sharon akan menyangkutkannya berhampiran mereka, bergantung kepada keadaan.

"Memberi makanan semacam memandang rendah kepada diri mereka. Kebanyakannya masih berprasangka dan anggap kami dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

"Tetapi, ada juga yang tidak segan-segan bercerita dan berasa cukup seronok apabila ada orang yang sudi berbual dengannya. Mujurlah selama ini, saya tidak pernah dikejar atau dicederakan. Kena marah dan sergah itu biasalah," ujarnya lagi.

Sebagai individu yang bertanggungjawab mencari dana, Ruby memberitahu orang Malaysia sebenarnya sangat pemurah. Apabila diminta untuk memberikan sumbangan makanan, ramai yang tidak keberatan.

Tetapi KSK bukannya memfokus kepada makanan sahaja kerana ia telah menetapkan matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.

Sasaran jangka pendeknya ialah memberi makanan setiap minggu. Sementara perancangan jangka sederhana pula untuk mendapatkan bangunan khas buat KSK supaya ahli boleh memasak dan menyediakan makanan kepada golongan kutu rayau setiap hari.

Matlamat jangka panjang ialah untuk memiliki pusat didikan. Maknanya, golongan malang ini boleh dibawa ke pusat dan diajar dengan pelbagai kemahiran seperti berkebun atau menjahit.

Jadi, mereka tidak perlu bergantung sepenuh kepada KSK, selain kembali bergaul dengan masyarakat, bekerja dan hidup seperti orang normal yang lain.



SHARON berharap usaha KSK mampu membawa golongan malang ini keluar dari kehidupan jalanan yang menyedihkan.

--------------------------------------------------------------------------------

Menurutnya, saat paling menyeronokkan ialah apabila dapat jumpa dan berikan makanan kepada mereka. Ketika mula-mula mengagihkan makanan, saya tertanya-tanya kenapa mereka susahkan kami dan tidak duduk sahaja di tempat biasa dan tunggu. Sedangkan mereka tahu kami akan datang setiap minggu.

"Akhirnya seorang kawan beritahu: Ruby, apabila seseorang itu berada di jalanan dalam tempoh yang begitu lama, dia tidak tahu lagi tentang masa dan hari. Bagi mereka, setiap hari ialah usaha baru untuk meneruskan hidup.

"Jadi, macam mana mereka boleh tahu yang hari ini, hari Ahad dan petang nanti awak akan datang beri makanan? Sebab itulah bagi saya, waktu paling bermakna ialah apabila berjaya menemui mereka.

"Mereka sentiasa merayau dan berada dalam keadaan lapar. Maka, kami terpaksa terus mencari sehinggakan ada masanya untuk mengagihkan 50 pek makanan di kawasan Pasar Pudu memakan masa sehingga dua jam. Sedangkan yang hendak diberi ialah orang yang sama," kata Ruby sambil memberitahu bagi menjaga sensitiviti, makanan yang diberikan adalah halal.

Walaupun kerja mengagihkan makanan ini nampak sukar dan menakutkan, (Ruby akan berdoa setiap kali turun daripada kereta), dua wanita ini ada banyak kisah lucu yang dikongsi bersama.

Cerita Sharon, satu hari, anaknya, Sean Wang Xian An, 10, yang turut mengikutnya mengagihkan makanan secara tidak sengaja memberikan makanan kepada seorang lelaki yang sedang melepak di situ. Walaupun kehairanan, dia mengambil juga makanan tersebut.

"Pernah satu minggu, seorang sukarelawan membawa kek coklat untuk diagihkan. Minggu depannya, ada kutu rayau yang bertanyakan, ada atau tidak kek coklat dalam bungkusan diterimanya.

"Ada pula segelintir pejalan kaki yang beranggapan sukarelawan KSK memberi sampel makanan percuma. Jadi, mereka pun minta sama," kata Sharon.

"Apabila menerima nasi dan lauk daripada kami, mereka bertanya pula kenapa semuanya sudah sejuk. Terpaksalah kami jawab bahawa masa lama yang diambil untuk mencari mereka membuatkan makanan tersebut menjadi sejuk.

"Memang kedengaran seperti sedikit keterlaluan pula, tetapi kita kena ingat bahawa mereka pun manusia biasa yang mahukan makanan panas dan sedap," celah Ruby sambil ketawa.

Dalam perjalanan pulang, kami terserempak dengan seorang pengemis di kaki jalan berhampiran stesen bas Klang. Seorang sukarelawan muda KSK turun daripada kereta dan menghulurkan sebungkus makanan kepadanya.

Terpinga-pinga, dia menerima makanan itu. Mungkin kerana tidak sangka diberi makanan, dia terus mengangkat tangan sebagai tanda ucapan terima kasih sehinggalah kereta itu hilang daripada pandangannya.

Langit petang itu nampaknya bertambah gelap, seakan tidak sabar-sabar lagi untuk menumpahkan rahmatnya ke setiap inci bandar Kuala Lumpur.

Pastinya, tidur golongan kutu rayau malam ini bakal berselimut kesejukan, namun mereka tetap bersyukur kerana perut tidak akan berkeroncong kelaparan.

Ramai yang boleh berbahasa Inggeris

SETELAH hampir dua tahun ‘bersosial’ dengan golongan merempat dan kutu rayau, pelbagai cerita, ragam dan kisah telah diperoleh Sharon dan Ruby.


MELALUI KSK, Ruby berpeluang berjumpa dengan kutu rayau yang memiliki pelbagai kisah dan cerita tersendiri.

--------------------------------------------------------------------------------

Jelas Sharon, dia pernah mengenali seorang wanita yang menyewa sebuah bilik berhampiran Pasar Pudu. Bekerja sebagai penjual tin-tin aluminium yang dikutip, hidupnya memang menyedihkan, apatah lagi dia terpaksa membayar sebanyak RM200 untuk sewa biliknya.

Ajaibnya, wanita yang datang dari Melaka itu mampu bercakap bahasa Inggeris dengan cukup baik. Dakwanya, dia pernah tinggal di Hawaii untuk beberapa ketika.

“Kisahnya sangat menyentuh hati. Hidup di sekitar kawasan Pudu, wanita itu pernah ditangkap dan dibawa oleh JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ke rumah perlindungan, tetapi dia berasa seperti berada di penjara.

“Dia ada menulis kepada KSK meminta bantuan. Namun, sukar untuk kami lakukan kerana tidak boleh jamin dia tidak akan kembali ke jalanan. Menurutnya, dia ingin bekerja dengan KSK,” jelasnya.

Sharon turut menyatakan ramai juga golongan kutu rayau warga emas yang ditemuinya boleh berbahasa Inggeris. Ini sekali gus membolehkan mereka untuk bekerja.

Sementara Ruby pula pernah terserempak dengan seorang wanita tua. Ditemui di Jalan Pudu Lama, wanita malang itu membawa banyak beg plastik dan sebuah kipas meja, sambil berdiri berhampiran sebuah perhentian bas.

Ruby merapati dan wanita tua itu nampaknya sudah putus harapan dengan hidupnya dan menunduk sepanjang masa.

Ketika hendak beri makanan, tangannya menepis-nepis. Bila kata ini makanan yang bersih dan memang untuknya, dia masih tidak mahu. Ruby membiarkannya seorang dan sambung memberikan makanan kepada orang lain.

“Kemudian, hujan mulai turun. Tidak boleh jadi, saya mesti kembali dan cuba beri makanan kepadanya. Apabila sampai di sana, wanita itu masih lagi berteleku di tempat yang sama.

“Saya kata: Makcik saya bawa kamu ke rumah perlindungan. Reaksi sama sahaja yang diterima tanpa memandang wajah saya. Itulah saat yang amat menyedihkan.

“Saya pasti bahawa dia baru sahaja dihalau dari rumah. Kenapa saya anggap begitu? Orang yang merempat tidak akan bawa banyak barang dan mengangkut kipas meja. Kalau dia sudah lama di jalanan, pasti barangan seperti itu sudah dirompak,” cerita Ruby.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

1 comment:

karim rambo said...

memang bagus. rasanya di kl pun ada Foot Not Bomb yang dijayakan oleh anak-anak muda!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...