Thursday, November 20, 2008

BPR siasat 82 aduan politik wang

Nov 20, 08 4:14pm

Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menerima 280 aduan mengenai politik wang membabitkan parti-parti politik di negara ini, kata Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan hari ini.

Daripada jumlah itu, 82 aduan mempunyai asas dan sedang disiasat oleh BPR manakala selebihnya diserahkan kepada lembaga disiplin parti yang berkaitan, katanya kepada pemberita di Alor Star hari ini.

Ahmad Said yang enggan mendedahkan nama parti politik berkaitan berkata jika siasatan memperoleh cukup keterangan, pihaknya akan membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Sementara itu, Bernama juga memetik beliau sebagai berkata BPR sedang giat berusaha untuk menghapuskan jenayah rasuah bersindiket yang berlaku di negara ini.

Katanya antara kegiatan yang melibatkan jenayah rasuah bersindiket itu ialah kemasukan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan dadah, senjata api, bahan lucah dan barangan yang cuba dielakkan cukai.

BPR juga sedang berusaha untuk membanteras kegiatan rasuah berkaitan pencemaran alam sekitar dan penebangan balak secara haram, katanya.

Ahmad Said berkata, mereka yang terlibat sama ada pegawai kerajaan, swasta dan orang awam, akan dikenakan tindakan tegas.

Katanya, kerajaan telah meluluskan penambahan sehingga 5,000 pegawai penyiasat dalam tempoh lima tahun mulai sekarang bagi memperkasakan agensi berkenaan yang kini mempunyai 1,800 pegawai penyiasat, memerangi jenayah rasuah secara berterusan.

Beliau berkata, sokongan orang ramai terhadap BPR semakin meningkat di mana mereka telah menyalurkan 14,817 maklumat rasuah kepada pihaknya sejak Januari hingga semalam (19 November) berbanding 13,900 maklumat sepanjang tahun lalu.

"(Sejak Januari) sehingga semalam, 575 ditahan BPR, (manakala) hasil kutipan denda di mahkamah setakat ini ialah RM1.3 juta, harta yang dirampas oleh BPR setakat ini ialah RM8.94 juta dan nilai rasuah dalam kes-kes yang kita siasat ialah RM45 juta," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/93455

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...