Thursday, November 20, 2008

Lebih 100 bahagian sokong Shahrizat...


Muda Mohd Noor Nov 20, 08 1:21pm

Lebih 100 bahagian menyokong Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini, kata exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah.

Beliau yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara itu berkata, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz.

Lima negeri tersebut, katanya, ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.

"Negeri-negeri lain akan menyusul memberikan sokongan selepas Shahrizat mengumumkan beliau akan bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

"Ketika ini ada negeri yang takut untuk mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Shahrizat,"
katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita selesai bermesyuarat awal bulan ini, 117 bahagian mencalonkan Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua.

Raja Ropiah berkata, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan - yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Rafidah - kini telah mula beralih sokongan kepada Shahrizat.

Sokongan padu

Katanya, ini bermakna Rafidah tidak lagi mendapat sokongan padu dari negeri-negeri yang sebelum ini menyokong Rafidah.

"Saya merasakan Rafidah tidak lagi boleh mengatakan ahli-ahli Wanita masih mahu beliau memimpin pergerakan itu.

"Saya menerima panggilan telefon dari ahli Wanita dari seluruh negara setiap hari yang mahu supaya Shahrizat mencabar Rafidah untuk jawatan ketua Wanita,"
katanya lagi.

Raja Ropiah berkata, alasan utama mereka mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini, katanya, ia tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata, Rafidah perlu menerima hakikat dengan perubahan semasa iaitu Wanita Umno mahukan perubahan kepimpinan.

http://www1.malaysiakini.com/news/93432

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...