Thursday, November 20, 2008

Jadi umpan kumpulan samseng - Pelajar perempuan calon SPM ditahan bantu siasatan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU – Seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dicekup polis baru-baru ini kerana terlibat dalam kumpulan samseng yang sering menyamun di sekitar bandar raya ini sejak September lalu.

Pelajar terbabit bersama rakan-rakan lelakinya dikatakan bertindak ganas termasuk mencederakan mangsanya dengan menggunakan senjata tajam sekiranya permintaan mereka tidak dilayan.

Modus operandi kumpulan itu ialah mengumpan pelajar tersebut dengan berpura-pura bertanya arah jalan kepada mangsa-mangsanya yang baru tiba ataupun keluar dari kediaman sebelum mangsa diserbu ahli kumpulannya lain.

Gadis tersebut bagaimanapun bernasib baik kerana masih dibenarkan menduduki SPM meskipun sedang ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, selain gadis itu, turut ditahan ialah enam lagi rakan lelakinya berusia antara 18 dan 28 tahun di beberapa lokasi berasingan di Taman Perling, Kangkar Pulai, Nusajaya dan Taman Sri Pulai di sini sejak 11 November lalu.

“Polis telah mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri supaya dia (pelajar perempuan terbabit) dapat mengambil SPM meskipun masih ditahan,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurutnya, pihaknya turut merampas enam bilah parang panjang, dua bilah kapak, dua bilah pisau daripada geng samseng berkenaan yang dipercayai digunakan semasa menyamun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...