Thursday, November 20, 2008

'Dia anak derhaka'


Oleh MAZLINA MAJID
mazlina@kosmo.com.my




RAMLAH melihat risalah 'Ajaran MLM' milik anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kajang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KAJANG - "Sejak terjerumus ke dalam ajaran ini (Ajaran MLM) beberapa tahun lalu, anak saya seperti sudah hilang arah, hilang hormat malah sanggup ingkar nasihat ibu bapa, dia lain sekarang, dia sudah jadi anak derhaka.''

Begitulah luahan perasaan seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah, 40-an yang mengesyaki anak lelaki kesayangannya itu, Nizam, lewat 20-an, (bukan nama sebenar) telah 'terperangkap' dengan 'Ajaran MLM' yang didedahkan oleh Kosmo! melalui siri laporannya sejak Ahad lalu.

Kekecewaannya semakin mendalam lebih-lebih lagi apabila Nizam terpengaruh dengan kata-kata manis yang menjanjikan 'habuan besar' oleh kumpulan yang mengimpikan 'negara jelmaan' itu.

"Saya pernah dengar bahawa dia kata, dia akan dapat apa saja yang dia nak kalau 'kerajaan baru' terlaksana, apa saja yang dia impikan... kereta besar, rumah mewah pasti akan ditunaikan oleh ketuanya,'' ceritanya sambil memberitahu Nizam mempunyai nama gelaran lain di kalangan ahli kelas tilawahnya.

Selain itu, Ramlah juga mendapat tahu, 'kesetiaan' menjadi pengikut 'Ajaran MLM' untuk tempoh yang lama dikatakan turut akan 'dibayar' dengan menduduki 'hierarki' yang lebih tinggi dan dihormati.

Ramlah yang ditemui di sini berkata, dia sekali-kali tidak menduga serta amat terkejut dengan tindakan anak kesayangannya itu kerana Nizam mendapat didikan penuh di sekolah agama, sopan-santun dan tidak sekali pun meninggalkan solat.

Namun, semuanya bermula sejak kira-kira tiga tahun lalu apabila Nizam mula menunjukkan sikap yang pelik gara-gara kerap keluar malam hingga ke pagi dengan alasan ke kelas agama hingga mengganggu disiplin waktu bekerjanya.

Geram dengan sikap Nizam yang kerap kali mendiamkan diri apabila ditanya akan perubahannya, akui Ramlah, adakalanya timbul perbalahan dan pertengkaran.

"Yang terpacul daripada mulutnya adalah 'keadilan' dalam memperjuangkan negara Islam tulen,'' beritahunya yang sudah hilang kudrat untuk menasihati anaknya itu akibat ketaksuban memperjuangkan 'Ajaran MLM' itu.

Menurut Ramlah, tembelang yang menjadi rahsia peribadi Nizam selama ini akhirnya terbongkar dengan bahan bacaan mengenai kelas tilawahnya ditemui di dalam kamar biliknya.

"Terkejut bukan kepalang saya dan bila dirujuk dengan tokoh agama dan ustaz, terbukti ajaran yang diikutinya terpesong,'' luahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...