Tuesday, November 18, 2008

Buru dalang jual bayi

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket menjual bayi warga tempatan dan Indonesia kini diburu Jabatan Imigresen bagi mengelak lebih ramai bayi menjadi mangsa.

Individu terbabit yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sindiket menjual bayi warga tempatan dan Indonesia di Pasir Gudang, Johor, yang dibongkar Khamis lalu, dipercayai masih berada dalam negara.

Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati dalang itu warga tempatan dan menjalankan kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami yakin dalang itu warga tempatan kerana biasanya orang ramai lebih selesa berurusan dengan warga tempatan bagi mendapatkan anak angkat dengan cara tidak sah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Ishak berkata, mereka yang ditangkap ketika operasi Khamis lalu sebahagian daripada ahli sindiket terbabit dan usaha menjejak ketuanya dijalankan.

Katanya, penemuan beberapa dokumen termasuk MyKad, sijil kelahiran dan borang daftar anak angkat ketika operasi itu membuktikan sindiket terbabit sudah lama beroperasi.

“Satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Imigresen di sini, akan dihantar ke Johor bagi membantu operasi memburu ketua sindiket terbabit,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan satu sindiket menjual bayi warga tempatan dan Indonesia dibongkar sepasukan pegawai imigresen yang menyerbu dua rumah di Taman Masai dan Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor, Khamis lalu selepas mendapat aduan orang ramai mengenai kemasukan warga asing secara haram dan sindiket penjualan bayi.

Ketika serbuan, mereka menemui dua bayi yang tidak mempunyai ibu bapa, seorang wanita tempatan yang hamil sembilan bulan dan seorang wanita warga Indonesia di rumah terbabit.

Sementara itu, mengenai kemungkinan kegiatan itu ada kaitan dengan sindiket menjual dan membeli bayi yang ditumpaskan di Johor Bahru Mei lalu, Ishak berkata perkara itu masih dalam siasatan dan pihaknya tidak dapat mengaitkan kedua-duanya.

“Kami sedang menyiasat perkara itu terutama mengenal pasti sama ada kedua-duanya berhubung kait,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092050/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...