Tuesday, November 18, 2008

Kami masih ingin menyumbang

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Warga tua diibaratkan sebagai barang antik yang bernilai tinggi. Semakin lama, semakin mahal harganya. Tetapi adakah sistem di negara kita cukup menghargai ‘barang antik’ ini?


--------------------------------------------------------------------------------

SEPERTI paparan wajahnya di kaca televisyen pada awal tahun 1980-an, tukang masak popular, Florence Tan tidak suram dihiasi senyuman dan gelak tawa yang terbawa-bawa ke mana jua pergi. Sesiapa yang berada dekat, pasti terjangkit aura keceriaannya yang tidak kekeringan gusi.

Pada usia 63 tahun, beliau sentiasa mengamalkan sikap berdikari semasa melakukan kerja-kerja rumah, menghadiri sesi penggambaran program masakan atau menunaikan undangan jemputan di dalam dan luar negara. Tanpa bergantung kepada bantuan dan sokongan orang lain, Florence aktif dan cekal menunaikan tanggungjawabnya terhadap diri sendiri dan komuniti.

Pada pertengahan tahun ini, wanita berbangsa Baba Nyonya dari Melaka ini terbang ke kota metropolitan di New York, Amerika Syarikat bagi mempromosikan sajian makanan masyarakat majmuk Malaysia. Selama tiga minggu berada di sana, Florence tidak lekang dengan kesibukan hidup yang tertumpu pada masakan, temuramah dan mencari ilham resipi baru.


--------------------------------------------------------------------------------

Kali pertama bersemuka dengan wanita berbaju kebaya kecil-molek ini, tidak hairanlah jika anda tersilap sangka usianya jauh lebih muda daripada jam biologi. "Akur pada ciptaan Tuhan yang tetap mengharungi hari-hari tua secara semula jadi, saya mengambil tindakan berwaspada agar diet pemakanan, senaman serta kesihatan dijaga daripada kemudaratan."

Bagi segelintir orang, usia itu tidak penting andainya berfikiran positif dan berpandangan muda terhadap kehidupan seharian. Suka tak suka, hakikatnya ialah sebaik anda mencapai usia melampaui 60 tahun dan ke atas, golongan masyarakat yang jatuh dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai warga emas yang memerlukan perhatian sama ada sokongan dari segi kewangan, kebajikan mahupun kesihatan.

Di sesetengah negara asing pula, julat lingkungan umur warga emas berbeza-beza mengikut ketetapan yang ditentukan oleh kerajaan.

Seperti negara-negara membangun, Malaysia turut tidak terlepas dari mengalami perubahan transisi demografi di mana kadar kelahiran dan kematian semakin menurun secara mendadak. Sejajar dengan perubahan yang dirasai, ia mengakibatkan bilangan penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas telah bertambah lalu mewujudkan era generasi tua yang lebih ramai berbanding dengan kategori golongan lain.


WARGA emas memerlukan perhatian sama ada sokongan dari segi kewangan, kebajikan dan kesihatan. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Pada Bancian Populasi yang dilakukan pada tahun 2000, jumlah warga emas telah meningkat sebanyak dua gali ganda dalam tempoh dua dekad iaitu kepada 1.4 juta. Data daripada Jabatan Statistik juga menunjukkan bahawa hampir tujuh peratus daripada populasi penduduk negara kita pada tahun 2007 berumur lebih dari 60 tahun dan ke atas.

Malah, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan Malaysia menjadi negara tua pada tahun 2035 dengan catatan warga emas yang meliputi 15 peratus.

Berbanding dengan zaman era peperangan dan kejahilan terhadap inovasi teknologi perubatan, perkembangan dalam sektor sains dan kesihatan membolehkan jangka hayat manusia bertambah sehingga melebihi 75 tahun dan ke atas. Amnya, di Malaysia kaum wanita diperakui hidup lebih lama (75 tahun) berbanding dengan kaum lelaki yang ketinggalan sebanyak lima tahun.

"Meskipun usia persaraan mandatori di negara ini tertakluk pada peringkat umur 55 atau 56 tahun bagi kakitangan kerajaan dan lebih kurang 60 tahun bagi pekerja swasta, populasi warga emas memiliki sumber pendidikan, pengalaman dan kemahiran belum cukup dimanfaatkan bagi pembangunan dan kemajuan negara."


FLORENCE TAN

--------------------------------------------------------------------------------

"Sebab itu kita harus menjalankan kajian dan penyelidikan yang menambah baik prasarana yang disediakan," ujar Profesor Madya Tengku Aizan Hamid Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor di Persidangan Penuaan Kebangsaan 2008 yang diadakan baru-baru ini.

Florence memilih menjadi hos masakan selepas 25 tahun mengajar sebagai seorang guru kemahiran sains di Melaka dan Kuala Lumpur. Begitupun, perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar tidak tergendala. Sambil menawarkan kelas-kelas memasak kepada guru-guru, kaum ibu dan sesiapa sahaja yang berminat dari utara ke selatan hinggalah ke timur bahagian Semenanjung, Florence juga merupakan seorang pakar perunding budaya Baba Nyonya di Hotel Equatorial, Melaka yang menyediakan kemudahan lima bintang.

Bayangkan betapa bernilainya ilmu yang ditimba dan dihargai? "Saya tidak pernah menghiraukan dua digit nombor yang mengekori tahun demi tahun. Sambil menjiwai perwatakan muda, ia banyak membantu tahap kecergasan dalam segala aktiviti yang diceburi selain melambatkan proses penuaan," sebutnya lalu menyediakan ramuan bahan asas untuk sebuah kelas masakan bagi sekumpulan pelancong.

Selagi mempunyai kudrat dan tenaga di samping menerima permintaan dari luar, Florence tidak menafikan dia akan terus menyumbang.


“APABILA saya mencapai usia 70-an, saya tetap akan melakukan kerja-kerja ringan.” – Reggie

--------------------------------------------------------------------------------

Reggie Lee, kartunis tempatan yang melakar kejayaan dan pencapaian berprestij selama lebih daripada 30 tahun, tidak bertambah muda seiring dengan pergerakan tubuh yang terhad dimamah usia. "Walau betapa mahunya saya mahu kembali ke umur 15 tahun, tahap fizikal saya tidak memberi laluan melakukan aktiviti yang terlalu memenatkan atau berpeluh."

"Tapi saya kini melencongkan minat kepada satu lagi hobi yang berkait-rapat dengan bidang kreativiti iaitu fotografi. Dalam setahun setengah, saya sudah melawat sekurang-kurangnya lapan hingga 10 buah negara," katanya yang turut menulis artikel kembara bagi majalah tempatan.

Biarpun menjejak usia 51 tahun dan masih jauh perjalanannya untuk bergelar warga emas, Reggie bersetuju dengan pandangan ahli-ahli profesional dan akademik yang mahu mengoptimumkan potensi yang dimiliki oleh mereka.

Jelas sekali, Dasar Warga Tua Kebangsaan dan Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Kebangsaan yang berfungsi sebagai asas perlaksanaan program-program tahunan warga tua, memberikan gambaran mereka tidak pernah diabaikan. Hari Sambutan Warga Tua Kebangsaan yang dilancarkan pada 1 Oktober semenjak tahun 1992, turut mewajarkan persediaan yang diambil.


BAGI segelintir orang, usia tidak penting andainya berfikiran positif dan berpandangan muda terhadap kehidupan seharian. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

--------------------------------------------------------------------------------



Dengan penyediaan infrastruktur, perumahan dan pengangkutan yang sesuai, produktiviti dan psikososial warga tua terjaga pada masa akan datang. "Pengiktirafan warga emas yang merangkumi pelbagai taraf hidup menegakkan usaha pembentukan nukleus keluarga, komuniti serta pembangunan ekonomi negara. Mereka perlu dilindungi dari segi hak-hak manusia dan kebebasan sebagaimana dinikmati oleh kanak-kanak dan warga muda," nyata Kamal Malhotra, wakil Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi negara Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam semasa berucap pada persidangan tersebut.

Memandangkan majoriti daripada warga emas Malaysia masih aktif, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk berinteraksi dengan mereka bagi memahami kehendak diri masing-masing. Pengintegrasian generasi dan hubungan interaktif mampu mengeratkan jaringan sosial.

Sebelum ini pun kita pernah dengar anak-anak yang menghantar ibu bapa yang tua ke rumah orang tua bagi mengurangkan beban yang ditanggung atau menghalang daripada bekerja kerana takut sakit.

"Bila saya mencapai usia 70-an, saya tetap akan melakukan kerja-kerja ringan. Mungkin terdorong dengan hobi baru. Lihat Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew atau Tun Dr. Mahathir, pemikiran mereka sentiasa tajam kerana otaknya berfungsi 24 jam," kata Reggie yang menambah bapanya sendiri jatuh sakit enam bulan selepas berhenti menjahit.

"Tempat dia berniaga dulu ditarik balik bagi tujuan pembangunan. Oleh kerana tidak dapat mengerjakan 'tubuhnya' dan berjumpa dengan kawan-kawan, dia meninggalkan dunia pada usia 80 tahun."

Ibu Florence yang menghidapi penyakit sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis bagi sekian lama, hidup sehingga 90 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir. "Kami tidak menghantarnya ke rumah orang tua, sebaliknya 25 tahun kakak saya menjaga dan memenuhi keperluan ibu tersayang," sambung Florence pula.

Tanpa mempersoalkan mutu pengendalian rumah orang tua, kedua-duanya yakin hanya ikatan keluarga mengubati sakit orang tua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...