Tuesday, November 18, 2008

TV, dialog lucah dan hamil


Kesan pengaruh TV ke atas kanak-kanak serta remaja adalah isu yang sekian lama dibincangkan. Kajian terbaru cuba melihat peranan terhadap isu kehamilan di kalangan remaja.



MASALAH kehamilan luar nikah meningkat tiga peratus pada tahun 2006 di Amerika Syarikat.

--------------------------------------------------------------------------------

SATU kajian terkini menunjukkan bahawa kadar kehamilan adalah lebih tinggi di kalangan remaja yang menonton banyak rancangan televisyen mengandungi dialog dan tingkah laku berbentuk seksual berbanding mereka yang mempunyai cita rasa yang lebih 'jinak'.

Kajian terbaru itu merupakan yang pertama menghubungkan tabiat menonton televisyen dengan kehamilan remaja, kata penulis utama, Anita Chandra, seorang saintis perlakuan Rand Corp.

Golongan remaja yang menonton rancangan-rancangan yang agak lucah dua kali lebih tinggi untuk mengandung dalam masa tiga tahun berbanding mereka yang kurang menonton program seumpama itu.

Kajian sebelum ini yang dilaksanakan oleh para saintis yang sama telah mendapati bahawa tabiat menonton rancangan berbentuk seks di televisyen boleh mempengaruhi golongan remaja untuk terlibat dalam aktiviti itu pada usia yang lebih muda.

Rancangan-rancangan yang hanya menekankan aspek positif tingkah laku seksual tanpa risiko yang ada boleh membawa kepada golongan remaja melakukan seks tanpa perlindungan sebelum mereka bersedia untuk mengalas tanggungjawab dan keputusan yang betul," kata Chandra.

Hasil kajian tersebut telah diterbitkan pada isu bulan November Pediatrics.

Ia melibatkan 2,003 remaja perempuan dan lelaki yang berusia 12 sehingga 17 tahun seluruh Amerika Syarikat (AS) menerusi soal selidik telefon mengenai tabiat menonton televisyen mereka pada tahun 2001.

Responden-responden terbabit ditemuramah sebanyak dua kali, terakhir pada tahun 2004, dan ditanya mengenai kehamilan.

Di kalangan remaja perempuan, 58 mengandung semasa temu ramah susulan itu, dan di kalangan lelaki, 33 mengatakan mereka telah menyebabkan seorang gadis mengandung.


SELAIN filem, rancangan-rancangan televisyen yang tidak ditapis menjadi salah satu punca kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja Amerika Syarikat. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Para peserta ditanya kekerapan mereka menonton salah satu atau lebih daripada 20 rancangan televisyen popular di kalangan remaja pada masa itu atau yang telah didapati mengandungi pengisian berbentuk seksual.

Antara rancangan-rancangan yang terlibat termasuk Sex and the City, That 70s Show dan Friends.

Kehamilan berlaku dua kali lebih kerap di kalangan mereka yang berkata sering menonton rancangan-rancangan tersebut berbanding remaja lain yang berkata amat jarang menontonnya.

Terdapat lebih tinggi jumlah mereka yang hamil di kalangan kumpulan remaja yang lebih dewasa, tetapi kadar kehamilan kekal konsisten di serata kumpulan usia remaja yang menonton program-program berunsurkan lucah.

Chandra berkata menonton televisyen mempunyai hubungan yang kuat dengan kehamilan remaja apabila faktor lain turut diambil perhatian, termasuk pencapaian di sekolah, struktur keluarga dan aras pendidikan ibu bapa.

"Namun demikian, kajian tersebut tidak menyentuh isu lain secukupnya, seperti keyakinan diri, nilai kekeluargaan dan pendapatan," tegas Elizabeth Schroeder, Pengarah Eksekutif Answer - sebuah program pendidikan seks remaja yang berpangkalan di Universiti Rutgers.

Tambah Scroeder, "Media juga memainkan peranan tetapi kita tidak tahu setakat mana kerana terdapat pelbagai faktor lain."

Tetapi Bill Albert, ketua pegawai program di badan bukan berasaskan keuntungan, National Campaign to Prevent Teen Pregnancy, memuji kajian yang dilakukan dan berkata, "Ia seiring dengan pertimbangan."

"Media membantu membentuk skrip sosial untuk golongan remaja. Kebanyakan ibu bapa mengetahui fakta ini. Satu kajian yang baik yang telah mengesahkan hakikat itu," kata Albert.

Walaupun demikian, menurut data terkini, kehamilan remaja di AS berada dalam penurunan selama 15 tahun, sehinggalah kenaikan tiga peratus pada tahun 2006. Para pakar berpendapat bahawa ia mungkin hanya gangguan kecil statistik.

Albert juga menunjukkan trend penurunan yang berlaku pada masa rancangan televisyen kian menjadi lebih seksual, mengesahkan bahawa "ia bukanlah satu-satunya pengaruh yang ada."

Ahli psikologi yang juga Presiden Institut Media dan Keluarga Kebangsaan, David Walsh, memetik data yang mengatakan kira-kira 19 peratus remaja Amerika mengakui bahawa mereka boleh berbicara secara terbuka mengenai seks dengan golongan dewasa yang dipercayai sepenuhnya.


LAKONAN berahi pelakon Hollywood yang memaparkan adegan seks meningkatkan bilangan remaja hamil luar nikah di Amerika Syarikat. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Dengan masih banyak sekolah tidak menawarkan pendidikan seks, ini meninggalkan media untuk bertindak sebagai pendidik seks, kata beliau.

"Bagi seorang kanak-kanak yang tidak berbicara mengenai seks, dan dia menonton rancangan-rancangan televisyen yang mengandungi unsur seks dan beranggapan inilah yang dilakukan oleh mereka yang 'cool', hasil yang terbentuk agak jelas," kata Walsh lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa untuk berbicara dengan anak-anak mereka mengenai seks sebelum mencecah usia remaja.

Ibu bapa juga harus peka dengan apa yang ditonton anak-anak mereka dan membantu menapis rancangan yang dipenuhi mesej seks, kata Walsh. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...