Tuesday, November 18, 2008

Tambang ambil kira waktu puncak, jarak perjalanan

KUALA LUMPUR: Kadar tambang pengangkutan awam terutama teksi mungkin ditentukan berdasarkan waktu puncak serta jarak kilometer (km) sebelum kadar itu dinaikkan pada awal tahun depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, ia berikutan terdapat segelintir pemandu teksi dikatakan enggan mengambil penumpang ke destinasi tertentu kerana tidak mahu menempuhi keadaan sesak..

“Kita sudah buat kajian dan ada beberapa perkara dituntut persatuan sudah dibenarkan. Kajian tambang diambil kira dari segi kilometer dan waktu puncak.

“Kita kena tengok balik kadar tambang ini di samping insentif lain diberi kepada pengangkutan awam. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat dan membebankan pengusaha,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Penambahbaik Mutu Kerjaya Jurupandu Kenderaan Perdagangan, di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Musa Muhamad, Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran, Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan), Datuk Mohd Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Alwi Ibrahim.


Kursus anjuran kerjasama Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi atau Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) itu membabitkan 135 pemandu teksi yang dilatih dengan pelbagai kemahiran asas menjadi pemandu berhemah.

Sementara itu, Noh berkata, kementerian mempertimbangkan cadangan mengadakan kajian kadar tambang pengangkutan awam secara tahunan untuk mengelakkan kenaikan mendadak yang jelas dirasai orang ramai.

“Saya lihat tambang ini kena disemak selalu dan kita akan tengok setahun sekali,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081118091526/Article/index_html


***Harga minyak dah turun.. harga barang pun kerajaan suruh turun.. kenapa tambang perlu di naikkan.. pelik tapi benar...***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...