SEREMBAN: Meskipun kempen penurunan harga barangan dan makanan sudah dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun harga barangan makanan yang dijual termasuk di restoran di daerah ini masih tinggi.
Peniaga dan pengusaha restoran dilihat seolah-olah tidak menghiraukan langsung kempen dan saranan kerajaan supaya menurunkan harga makanan berikutan harga minyak yang sudah diturunkan tiga kali.
Sebagai contoh nasi putih di restoran dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.50 sepinggan berbanding sebelum kenaikan harga minyak kali pertama pada Jun lalu RM1 sepinggan, malah terdapat restoran menjual nasi lemak, mee dan mee hoon goreng biasa pada harga RM1.30 berbanding sebelum ini RM1 sepinggan.
Rata-rata pengguna di daerah ini dan Rembau yang ditemui keliru dengan kempen kerajaan itu kerana pada hakikatnya harga barangan dan makanan tidak turun sebaliknya peniaga dilihat bersikap degil serta tidak mempedulikan saranan kerajaan menurunkan harga.
Mereka meminta Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP negeri supaya segera membuat pemantauan kerana jika sekadar memberi saranan supaya menurunkan harga sedangkan tindakan penguatkuasaan kurang agresif, matlamatnya tidak tercapai dan beban itu ditanggung orang ramai.
Abd Manaf Ahmad, 48, dari Senawang, berkata harga barangan dan makanan yang dijual di kebanyakan premis dan restoran di kawasan itu masih tinggi iaitu kenaikan yang dilakukan semasa harga minyak dinaikkan pada kadar 78 sen kepada RM2.75 seliter.
Menurutnya, walaupun harga minyak turun tiga kali sehingga RM2.15 ketika ini namun peniaga tidak menurunkan harga barangan dan makanan walaupun sebelum ini mereka memberi alasan kenaikan harga minyak menjadi faktor kenaikan itu.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081118093536/Article/index_html
No comments:
Post a Comment