Tuesday, November 18, 2008

‘Saya tiada niat aib isteri’

JOHOR BAHRU: “Saya tidak berniat mengaibkan perbuatan isteri dengan membuat pendedahan di akhbar, namun saya terdesak kerana masih menyayanginya dan berharap dia pulang ke pangkuan keluarga secepat mungkin demi masa depan anak-anak,” kata seorang pemandu lori, Che Karudden Che Hamid, 41.

Che Karudden berkata, laporan kehilangan isterinya yang disiarkan di akhbar ini, kelmarin menerima reaksi dan maklum balas berbeza daripada beberapa pihak.

“Selain bersimpati dengan nasib dialami saya dan keluarga, ada ada pihak yang mengambil kesempatan untuk bergurau dengan kesukaran dihadapi kami dengan menghantar SMS berbentuk sinis sehingga perbuatan mereka itu memberi tekanan hebat.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ada sebahagian lagi memberikan sokongan moral selain berharap isteri saya selamat serta pulang semula ke pangkuan keluarga,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, suri rumah, Anita Jamari, 42, menghilangkan diri sejak lebih sebulan lalu akibat ketagih dengan tabiat menghantar SMS kepada seorang rakan sembang yang baru dikenali beberapa bulan lalu.

Kehadiran individu ketiga itu jelas membawa perubahan kepada wanita terbabit termasuk kerap dilihat dalam keadaan murung serta enggan berkongsi masalah dengan ahli keluarganya, sebelum menghilangkan diri dari rumah di Lima Kedai, Gelang Patah, di sini, sejak 11 Oktober lalu.

Sebelum ini, Anita bukan sahaja tidak pernah berjauhan dengan keluarga, malah menyayangi kedua-dua anak dan bercita-cita membesarkan mereka sebagai insan berjaya.

Che Karudden berkata, ahli keluarganya turut mengadakan solat hajat hampir setiap hari supaya isterinya dapat dikesan secepat mungkin dan pulang semula ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, dia dan dua anaknya, Che Norkamaliah, 11 dan Khairul Amirin, 9 merayu Anita supaya menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan sebaik mungkin tanpa terus menghilangkan diri.

“Sepanjang hidup berumah tangga selama 12 tahun, Anita Anita adalah seorang yang bijak mengurus keperluan ahli keluarga kami. Tetapi, perpisahan ini adalah sesuatu yang amat sukar bagi kami yang masih buntu selepas menjalankan pelbagai usaha mengesannya termasuk membuat laporan polis di Balai Polis Gelang Patah pada 22 Oktober lalu.

“Kami mempunyai harapan tinggi Anita akan pulang semula ke pangkuan keluarga dan mengambil keputusan baik tanpa dipengaruhi pihak ketiga. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Anita diminta supaya segera menghubungi talian 012-7315094, “
katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092937/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...