Tuesday, November 18, 2008

Usah persoal kuasa Tuhan


Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan persoalkan kuasa Allah s.w.t,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar ketika mengulas pertandingan ratu pondan anjuran kelab gay di ibu kota, beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, umat Islam seharusnya tidak menyalahkan takdir sekiranya diri mereka mempunyai naluri bersifat lelaki atau wanita kerana Allah s.w.t sedang menguji umatnya.

“Kita tidak mempunyai pilihan yang sudah ditetapkan Yang Maha Esa. Jika lelaki itu mempunyai naluri kewanitaan, dia kena ubah dan mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Sesuatu kejadian yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya...ini bermakna Allah sayangkan kita, sebab itu dia beri ujian kepada hambanya.

“Kalau dia dapat kawal nafsu bercinta sesama jenis serta mengubah keinginan untuk menyerupai wanita, maka Allah akan beri dia pahala cukup besar di dunia atau akhirat,”
katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam, mengenai golongan pondan di negara ini bagaikan diberi layanan istimewa apabila ada pihak bermurah hati menyediakan pertandingan khas untuk memilih ratu cantik di kalangan mereka.

Menerusi penyertaan dalam pertandingan ratu cantik pondan itu, golongan terbabit dikatakan berada di puncak impian apabila berpeluang merubah diri menjadi wanita yang tampil dengan gaya anggun dan menawan selain meraih pelbagai gelaran seperti Queen Of The Year (Ratu Tahun ini) dan All Star (Bintang-bintang).

Bagaikan kebal daripada penguatkuasaan undang-undang, iklan mengenai pertandingan itu ditampal di papan kenyataan di luar kelab berkenaan sehingga mengundang perhatian orang ramai yang lalu lalang.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, walaupun negara ini mempunyai undang-undang, tetapi pelaksanaan masih kurang dijalankan dengan berkesan.

“Sepatutnya pihak berwajib mengambil tindakan segera ke atas premis terbabit yang menganjurkan pertandingan ini kerana terbukti mereka menyalahi undang-undang.

“Saya bukannya menyalahkan penguatkuasaan seratus peratus kerana mereka perlu diberi latihan mencukupi untuk mengendalikan sesuatu kes seperti pondan, gay, pengkid dan sebagainya.

“Jabatan agama negeri juga perlu menambah bilangan anggota penguat kuasa supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan berkesan, kalau boleh wujudkan jawatan pegawai penyiasat bagi memastikan kegiatan tidak bermoral dapat diatasi dan disiasat dengan segera,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan kerajaan mempertimbangkan cadangan PGSM meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1984, kerana akta ini membolehkan hukuman lebih berat terhadap umat Islam yang melakukan pelbagai kesalahan yang memesongkan akidah.

“Buat masa ini Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tidak boleh menggubal akta itu selagi akta bidang kuasa ini tidak dipinda.

“Akta ini kena pinda dulu supaya ia dapat beri kuasa kepada negeri, terhadap sesuatu hukuman yang lebih berat dikenakan.

Katanya, PGSM amat pelik dan janggal dengan hukuman ke atas lelaki yang melakukan perbuatan liwat atau luar tabii kerana ia adalah maksud yang sama tetapi dikenakan hukuman berlainan.

“Liwat atau luar tabii membawa maksud yang sama iaitu memasukkan zakar ke dalam dubur lelaki lain.

“Kalau seseorang itu didakwa di mahkamah syariah atas kesalahan liwat, hukumannya adalah denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tetapi kalau mereka didakwa di mahkamah sivil atas kesalahan seks luar tabii, maka hukumannya adalah penjara selama 20 tahun,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092637/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...