Friday, December 19, 2008

‘Kami tak larikan diri’

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Saya rayu pihak media memberi ruang kepada saya mahupun isteri menyelesaikan beberapa perkara sebelum kami tampil memberikan sidang akhbar,” kata Mohd Aidil Zafuan, 21, yang dihubungi bagi mendapatkan kenyataan balas mengenai pernikahannya dengan pelakon popular, Rita Rudaini, 33.

Mohd Aidil turut meminta semua pihak menghormati pendiriannya dengan tidak mengganggu atau cuba mendapatkan kenyataan daripada ahli keluarganya mahupun keluarga Rita.

“Saya akui dalam hal ini saya yang bersalah dan kerana itu kami memohon maaf kepada ibu bapa saya dan keluarga.

“Tidak dinafikan dalam hal ini saya sepatutnya tampil dan memberikan kenyataan mengenai perkara ini, cuma masalahnya sekarang masa tidak mengizinkan kerana ada beberapa perkara yang perlu saya dan Rita selesaikan terlebih dulu.

“Nantilah, apabila segalanya sudah beres, saya bersama Rita akan mengadakan sidang media dan menjemput semua rakan wartawan serta menjawab segala soalan berbangkit,” katanya.

Mohd Aidil juga menafikan dia dan Rita cuba melarikan diri daripada media dengan menegaskan tiada apa yang mahu disorok kerana perkara sudah berlaku dan perkahwinan itu dibuat dengan tujuan baik.

“Saya bimbang kalau sidang akhbar diadakan sekarang, nanti ia akan berpanjangan, sekali gus memberikan kesan kepada semua orang bukan saja saya dan Rita, malah keluarga.

“Tekanan diberikan pihak luar yang mahu mendapatkan kenyataan balas kami mahupun ahli keluarga lain juga akan mempengaruhi kesihatan ibu bapa saya.

“Kasihanilah mereka dalam hal ini kerana ibu bapa saya tidak bersalah,” katanya lagi tanpa mahu mengulas panjang.

Kelmarin keluarga Mohd Aidil, mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan mengenai pernikahan Mohd Aidil dan Rita di Selatan Thailand, 25 Februari lalu.

Dalam kenyataan diberikan bapa Mohd Aidil, Abd Radzak Saleh, 59 menyatakan keluarganya menerima kenyataan membabitkan pernikahan itu tetapi terkilan kerana ia dirahsiakan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081219093555/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...