Friday, December 19, 2008

Mati 2 hari keluar wad


Oleh Riadz Radzi dan Omar Osman
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai menghidap demam chikungunya meninggal dunia di rumahnya di Kampung Perak, Bukit Selambau, dekat sini, pagi semalam selepas dua hari dirawat di Hospital Sik.

Mangsa, Ismail Md Noor, 46, yang sebelum ini dimasukkan ke hospital berkenaan Ahad lalu selepas mengalami demam, sakit sendi dan lemah seluruh badan bagaimanapun meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi semalam selepas keluar dari hospital, Selasa lalu.

Isterinya, Siti Azizah Nayan, 49, berkata suaminya mula mengalami tanda itu sejak minggu lalu. Bagaimanapun, keadaannya semakin teruk pada Ahad lalu sebelum dibawa ke klinik kesihatan berdekatan dan dirujuk ke Hospital Sik.

Katanya, selepas mendapat rawatan selama dua hari di hospital itu, Ismail dibenarkan keluar oleh doktor pada petang Selasa lalu, walaupun keadaannya masih lemah dan muntah-muntah.

“Saya agak terkejut dengan keadaan suami dan bertanya kepada jururawat kenapa dia dibenarkan pulang sedangkan keadaannya masih lemah.

“Bagaimanapun, saya diberitahu suami saya sudah sembuh dan boleh pulang ke rumah,”
katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Hasnah Ismail, ketika dihubungi, mengesahkan kematian Ismail bukan disebabkan demam chikungunya.

“Hasil siasatan di Hospital Sik, kita mendapati Ismail tidak menghidap penyakit itu,” katanya.

Setakat ini, belum ada penghidap demam chikungunya yang virusnya dibawa nyamuk aedes itu meninggal dunia kerana penyakit itu kurang bahaya berbanding demam denggi yang boleh membawa maut.

Siti Azizah berkata, dia juga diberi surat oleh jururawat bertugas yang meminta suaminya perlu hadir semula ke hospital itu untuk pemeriksaan lanjut.

“Ketika dibawa pulang ke rumah keadaan suami saya masih lemah dan tidak mampu berjalan selain demamnya juga masih belum pulih malah dia muntah berterusan sehingga pagi semlam menyebabkan suami terbaring di tempat tidur saja.

“Keadaannya bertambah teruk awal pagi tadi (semalam) dan saya menghubungi anak perempuan agar mencari kereta bagi membawa Ismail ke hospital. Bagaimanapun, ketika mahu menukar lampin pakai buangnya kira-kira jam 7 pagi, saya dapati dia sudah meninggal dunia,”
katanya.

Siti Azizah berkata, dia kesal kerana doktor hospital berkenaan membenarkan suaminya pulang walaupun keadaan kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya, dia tidak tahu apa punca kematian suaminya tetapi pada surat kebenaran keluar hospital ada mencatatkan suaminya mengalami demam, sakit sendi dan belakang serta sama dengan tanda dijangkiti demam chikungunya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081219091902/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...