Friday, December 19, 2008

Rakan sepasukan terkejut

SEREMBAN: Ramai di kalangan rakan kepada pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, mengakui tidak tahu-menahu mengenai pemain itu sudah berkahwin dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini Mokhtar, walaupun mereka sentiasa bersama dalam pasukan bola sepak Negeri Sembilan.

Malah, mereka terkejut dengan berita yang tersiar di semua akhbar utama semalam mengenai pendedahan ahli keluarga Mohd Aidil yang mengakui pemain itu sudah berkahwin dengan artis berkenaan sejak lebih 10 bulan lalu iaitu pada 25 Februari tahun ini.

Seorang daripada rakannya dalam pasukan itu, Rezal Zambery Yahya, berkata dia tidak mengetahui mengenai perkahwinan Mohd Aidil, 21, dengan Rita Rudaini, 32, di Songkla, Thailand.

Menurutnya, dia dan rakan lain juga tidak melihat perubahan pada pemain pertahanan kebangsaan dan Negeri Sembilan itu sejak Februari lalu, malah Mohd Aidil tidak pernah menceritakan hubungannya dengan artis terbabit sama ada sebagai kawasan biasa mahupun sebagai isteri.

“Walaupun kami bersama dalam satu pasukan bola sepak, kami tidak pernah diberitahu mengenai perkahwinan mereka, malah sepanjang tempoh berkenaan, kami juga tidak melihat apa-apa perubahan pada diri Mohd Aidil.

“Kami sebenarnya baru hari ini (semalam) mendapat tahu mengenai perkahwinan Aidil dengan Rita selepas membaca akhbar.

Walaupun beberapa tahun sebelum itu akhbar mendedahkan hubungan mereka tetapi kemudian senyap seketika,” katanya di sini, semalam.

Rezal Zambery yang juga kapten pasukan Negeri Sembilan, bagaimanapun menyifatkan tindakan itu tiada salahnya kerana perkahwinan sesuatu yang baik walaupun tindakan Mohd Aidil dan artis itu mengguris hati keluarga masing-masing.

Menurutnya, jodoh pertemuan ketentuan Tuhan dan pemilihan Rita Rudaini sebagai isteri hak pemain itu.

“Saya mendoakan mereka berdua bahagia dan berharap Mohd Aidil tidak hilang tumpuan untuk membantu pasukan bola sepak Negeri Sembilan mencatat kejayaan cemerlang,” katanya.

Seorang lagi pemain pasukan itu yang enggan dikenali juga terkejut dengan berita perkahwinan rakannya itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081219093506/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...