Friday, December 19, 2008

Kelantan paling tinggi

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my



PUTRAJAYA: Kelantan negeri paling tinggi mencatat kes demam chikungunya sepanjang minggu lalu iaitu 38 kes, diikuti Kedah sebanyak 34 kes.

Dalam tempoh 7 hingga 13 Disember lalu, 158 kes demam chikungunya dilaporkan di seluruh negara menjadikan jumlah kes demam itu hingga kini 3,854 kes.

Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata kawasan terbabit mempunyai kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi dengan tempat pembiakan utama ialah pasu bunga, tong sampah dan tin kosong.

“Majoriti iaitu 2,991 kes demam Chikungunya dirawat sebagai pesakit luar manakala bakinya iaitu 873 kes menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Selain Kelantan dan Kedah, sebanyak 31 kes demam itu dikesan di Perak, Johor (23), Selangor (18), Pahang (7), Kuala Lumpur (3), Negeri Sembilan (2) dan masing-masing satu kes di Perlis dan Melaka.

Mengenai demam denggi pula, Dr Hasan berkata, dua kematian dicatatkan sepanjang minggu lalu iaitu masing-masing di Selangor dan Terengganu yang menjadikan jumlah kematian akibat denggi di seluruh negara hingga 13 Disember lalu kepada 100 kes, berbanding hanya 96 kes kematian tahun lalu.

“Empat kawasan menunjukkan peningkatan jumlah kes berbanding pada minggu sebelumnya iaitu Wilayah Persekutuan Labuan dengan peningkatan sejumlah 100 peratus, Perak (62 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (8 peratus), Terengganu (8 peratus) dan Kelantan (tiga peratus).

“Pemeriksaan menunjukkan 83 peratus premis positif pembiakan aedes adalah rumah kediaman atau kedai.

“Dalam tempoh yang sama, kami mengumpul sebanyak 294 kompaun bernilai RM32,550,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081219090747/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...