Wednesday, January 14, 2009
Anwar perlu guna kelebihan desak Israel hentikan serangan
Selasa Januari 13, 2009
KUALA TERENGGANU: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menggunakan kelebihan hubungan rapatnya dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mempengaruhi kuasa besar itu mengarahkan Israel menghentikan serangan di Gaza, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.
Beliau berkata isu Palestin bukanlah satu isu kepartian tetapi lebih kepada isu sejagat dan kemanusiaan yang memerlukan semua pihak bersatu dalam menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan AS mengambil tindakan segera dalam menangani isu terbabit.
"Saya tengok dia menyokong kita, itu penting bahawa dia mula memahami intipati dan inspirasi rakyat Malaysia yang menentang kezaliman dan rejim Israel yang melakukan jenayah antarabangsa.
"Diorang (Anwar) pun ada pengaruh sebab diorang pun rapat dengan Amerika. Jadi mereka patut guna pengaruh, guna rakan-rakan Amerika, jadi sama-sama bertindak," katanya selepas majlis pelancaran program Masyarakat Wanita Anti Dadah (Mawadah) peringkat kebangsaan di sini.
Katanya, 10 usul dikeluarkan pada Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai kekejaman rejim Zionis di Gaza, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam adalah pendirian dan intipati naluri rakyat Malaysia.
Syed Hamid berkata isu tersebut tidak mencukupi jika hanya dibincangkan di Parlimen semata-mata, tetapi haruslah disusuli dengan tindakan yang lebih proaktif untuk memastikan rejim Zionis yang melakukan keganasan itu dapat diambil tindakan.
Syed Hamid berkata kedua-dua negara sama ada AS mahupun Israel perlu dihadapkan ke tribunal jenayah perang antarabangsa kerana terlibat dengan jenayah antarabangsa, jenayah kemanusiaan serta melakukan peperangan yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva. BERNAMA
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/13/mstar_berita/20090113210126&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment