Wednesday, January 14, 2009
Rejim Zionis mahu hapus keturunan penduduk Palestin
BANDAR GAZA - Tentera Israel dan pejuang-pejuang Hamas berbalas tembakan di beberapa batang jalan raya di sini semalam.
Pertempuran sengit itu berlaku ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mendakwa rejim Zionis berusaha untuk 'menghapuskan' penduduk Palestin.
"Israel masih meneruskan tindakan agresif untuk menghapuskan penduduk kita," kata Mahmoud dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Tebing Barat.
Menurut saksi-saksi pasukan unit khas tentera Israel yang dibantu oleh sejumlah kereta kebal dan serangan udara memasuki Bandar Gaza dan berada beberapa ratus meter dari kawasan perumahan.
Mereka berkata, pertempuran di bandar itu adalah yang paling sengit sejak rejim Zionis mara dengan tentera darat ke Gaza, 18 hari yang lalu.
Angka kematian akibat serangan di Gaza itu meningkat lebih 935 orang termasuk 280 kanak-kanak.
Sebanyak 4,260 orang turut cedera.
Setakat ini hanya sepuluh askar Israel dan tiga penduduk Yahudi terbunuh sejak rejim Zionis melancarkan operasi besar-besaran di Gaza pada 27 Disember lalu.
Sementara itu, ketua pentadbiran Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh mendakwa Israel gagal untuk memusnahkan semangat penduduk Gaza.
Beliau mendakwa Hamas semakin hampir menuju kemenangan. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment