Wednesday, January 14, 2009

Tindakan boikot barangan AS kena berhati-hati


KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menyokong usaha memboikot barangan buatan Amerika Syarikat dialu-alukan tetapi perlu dilaksanakan berhati-hati.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pendekatan itu harus dilakukan dengan berhemah kerana jika tidak, boleh mendatangkan tindak balas negatif kepada negara.

Bagi memboikot sesuatu produk dari luar, khususnya Amerika Syarikat, harus dilaksanakan berhati-hati kerana kita mempunyai produk yang dieksport keluar.

“Kita harus menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan kita tapi dari segi memboikot sesuatu barangan kita perlu melihatnya satu persatu kerana langkah pemboikotan agak sukar dilakukan kerana banyak ahli perniagaan kita menjalankan perniagaan secara francais barangan Amerika Syarikat,”
katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Wangsa Tegap Sdn Bhd dengan The Ritz-Carlton Hotel Company LLC semalam.

Katanya, apa yang penting adalah perubahan sikap sendiri yang harus bersedia membeli barangan buatan tempatan dan tidak bergantung kepada barangan luar.

“Kita harus sedar kebanyakan perniagaan barangan francais dari Amerika Syarikat itu diuruskan sepenuhnya rakyat tempatan.

“Tindakan memboikot barangan tersebut secara langsung menjejaskan perniagaan mereka di samping memberi kesan pendapatan majoriti rakyat tempatan yang bekerja dengannya,”
kata Ong.

Beliau juga menekankan perlunya pendekatan stategik dalam menjayakan kempen tersebut dengan memberi keutamaan kepada penggunaan barangan tempatan, terutama pada sektor makanan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113085805/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...