Wednesday, January 14, 2009

`Berjihad di mana saja’


Oleh Amir Abd Hamid


KUALA LUMPUR: “Saya akan tetap berjihad di mana saja saya berada kerana tanah air di Palestin sentiasa subur di jiwa saya,” kata Muslim Abu-Umar, 22, warga Palestin yang melanjutkan pengajiannya di negara ini.

Penuntut tahun akhir dalam jurusan Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menyatakan tekadnya untuk berjihad melawan kekejaman rejim Zionis Israel ditanam sejak kecil, lebih-lebih lagi ayahnya Mohamed Imran Abu-Umar, 51, ditahan di Penjara Tebing Barat.

Dia bukan saja geram kerana ayahnya yang bekerja di Organisasi Amal Islam di Palestin ditahan tanpa diketahui kesalahan, malah hatinya membara apabila melihat rakan terkorban disebabkan tingkah-laku tidak berperikemanusiaan pengganas Israel.

“Justeru, peluang berjihad dari Malaysia akan saya gunakan sebaik mungkin dengan menanamkan pemahaman kepada semua bahawa rakyat Palestin terus-menerus dianiaya tentera Israel.

“Penduduk Palestin bukannya tidak cukup bahan makanan, apa yang berlaku sebenarnya ialah kami tidak mendapat sokongan kuat dari segi sokongan diplomatik dan politik saudara seagama Islam di seluruh dunia.

“Duit, makanan dan ubat-ubatan bukan masalah utama walaupun dikenakan pelbagai bentuk sekatan. Apa yang penting kerjasama sokongan diplomatik dan politik kerana ia sangat membantu kami menjadi lebih kuat serta tidak lagi dipandang lemah Israel,” kata anak kedua dari lima beradik itu.

Pelajar tajaan penuh Yayasan Albukhary, milik ahli perniagaan tersohor negara yang juga Tokoh Maal Hijrah 1429, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary itu berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat di pejabat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) semalam.

Apa dikesalkan Muslim ialah walaupun jelas penduduk Palestin dianiaya pengganas Israel, namun Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diharap membela nasib warga Palestin belum melakukan tindakan sewajarnya.

Katanya, lima juta penduduk di Palestin manakala tujuh juta lagi berada di luar negara itu amat mengharapkan simpati dan sokongan negara lain khususnya Islam bagi membantu mereka menjalani kehidupan damai di bumi sendiri.

“Kita sedih, Barrack Obama yang dilantik secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari ini, menyuruh Hamas menghentikan serangan roket, padahal yang memulakan serangan dari pihak Israel.

“Lebih 900 terkorban di Gaza kerana pengeboman Israel tapi dia suruh Hamas menghentikan serangan, ini semua tidak masuk akal,”
katanya.

Sementara itu, keputusan mesyuarat lebih dua jam itu mencapai keputusan menubuhkan sekretariat khusus membantu menangani isu Palestin.

Mesyuarat berkenaan diwakili enam Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) masing-masing Naib Presiden GPMS, Jais Abdul Karim; Setiausaha Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Zahirah Shafie; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad; Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Hasnul Hanif; Presiden Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima), Mohamed Kathir Ali dan Muslim Abu-Umar sendiri yang mewakili jawatankuasa Al-Aqsa Friends Society-IIUM.

Naib Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, berkata sekretariat yang belum diberikan nama itu bertujuan membantu rakyat Palestin dengan langkah awal mengadakan kempen kesedaran kepada mahasiswa Islam seluruh negara mengenai nasib di negara Asia Barat itu.

Selain itu katanya, mereka menjalankan kutipan derma untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Sekretariat ini mendapat kerjasama penuh dari Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi beroperasi khusus membantu rakyat Palestin.

“Selain dari enam NGO hari ini (semalam), kita akan menggerakkan kerja menarik semua pertubuhan pelajar di universiti tempatan menyertai sekretariat sebelum diperluaskan di universiti luar negara,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113085848/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...