Friday, January 16, 2009

Azilah dakwa diarah bantu Razak Baginda

Khamis Januari 15, 2009


ANGGOTA polis mengiringi Cif Insp Azilah Hadri (kanan) dan Koperal Sirul Azhar ketika keluar dari mahkamah selepas menghadiri pembelaan diri atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.



SHAH ALAM: Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, memberitahu perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa dia telah diminta oleh seorang pegawai atasan polis untuk membantu penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang menjadi mangsa ugutan seseorang.


Dalam keterangan membela diri, Azilah memberitahu mahkamah bahawa DSP Musa Safri telah memberikan nombor telefon bimbit Abdul Razak dan memintanya untuk menghubungi Abdul Razak bagi mendapatkan butiran terperinci mengenai masalah dan bantuan yang diperlukan oleh rakannya itu.


"DSP Musa memberitahu saya bahawa kawannya iaitu Encik Razak ada masalah kerana diugut seseorang.


"DSP Musa minta saya jumpa Encik Razak untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah Encik Razak dan memperkenalkannya dengan DSP Idris Abdul Karim. DSP Musa sendiri tidak tahu apa masalah sebenar Encik Razak,"
kata Azilah pada hari pertama pembelaan kes itu.


Azilah, 32, dan Koperal Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.


Abdul Razak, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Okt tahun lepas tanpa dipanggil membela diri.


Dalam pemeriksaan utama oleh peguam belanya Datuk Hazman Ahmad, Azilah berkata dia telah menghubungi Abdul Razak pada 18 Okt 2006 melalui telefon bimbit dan setelah memperkenalkan dirinya dan memberitahu tujuan panggilan itu dibuat, Abdul Razak memberikan alamat pejabatnya dan memintanya datang ke situ.


Azilah berkata, bahawa dalam pertemuannya dengan Abdul Razak di pejabat itu, dia memberitahu mahkamah Abdul Razak kelihatan tertekan dan telah menceritakan tentang ugutan yang diterimanya dari seorang perempuan Cina dan seorang lelaki Cina.


"Encik Razak menceritakan seorang lelaki Cina dan seorang perempuan Cina telah mengugut minta duit tapi jumlah wang Encik Razak tak beritahu, atas alasan apa, Encik Razak tidak beritahu.


"Encik Razak beritahu dia tidak mahu mengikut kehendak lelaki Cina dan perempuan Cina itu.


"Encik Razak beri saya dengar satu pesanan suara dari telefon Encik Razak. Saya dengar suara seorang lelaki Cina dalam pelat Cina berkata 'saya kasi pecah lu punya muka',"
katanya.


Azilah berkata Abdul Razak juga memberitahunya disebabkan ugutan itu, Abdul Razak telah mengupah seorang pengawal keselamatan untuk mengawal kediamannya serta mengupah seorang penyiasat persendirian.


Selain ugutan itu, katanya, Abdul Razak turut memberitahu beliau bahawa lelaki Cina dan perempuan Cina itu juga pernah membuat kecoh di hadapan rumahnya di Bukit Damansara.


Azilah berkata, setelah mendengar cerita Abdul Razak, dia mencadangkan supaya Abdul Razak membuat laporan polis supaya polis boleh membuat tindakan sewajarnya tetapi Abdul Razak enggan berbuat demikian.


Dalam keterangannya, Azilah berkata, Abdul Razak telah memintanya untuk menasihati lelaki Cina dan perempuan Cina tersebut supaya jangan membuat kecoh di depan rumah serta memintanya untuk membuat rondaan di sekitar kawasan kediamannya itu.


"Saya beritahu Encik Razak sekiranya Encik Razak mahu MPV meronda di kawasan rumah Encik Razak, saya boleh tolong tanya pada kawan saya iaitu DSP Idris untuk dapatkan peti polis di depan rumah Encik Razak sebagai checkpoint untuk polis yang meronda.


"Oleh kerana untuk mendapatkan khidmat anggota polis bagi meronda kawasan rumah Encik Razak mengambil masa yang lama, Encik Razak minta saya meronda kawasan rumahnya dan minta saya pergi ke Hotel Malaya untuk menasihati perempuan Cina itu kerana menurut Encik Razak, perempuan Cina itu menginap di Hotel Malaya bilik 512,"
kata Azilah.


Beliau berkata, Abdul Razak telah membekalkannya dengan alamat rumahnya di Bukit Damansara selain alamat Hotel Malaya dan nombor telefon bimbit perempuan Cina tersebut.


Azilah berkata, selepas pulang dari pejabat Abdul Razak, dia berjumpa Koperal Sirul Azhar dan menceritakan pertemuannya dengan Abdul Razak.


"Saya beritahu Sirul bahawa tadi saya jumpa Encik Razak iaitu kawan DSP Musa kerana Encik Razak ada masalah diugut lelaki Cina dan perempuan Cina dan Encik Razak minta bantuan untuk menasihatkan mereka dan meronda kawasan rumah Encik Razak.


"Saya dan Sirul pergi ke alamat rumah Encik Razak kerana saya beritahu Sirul kalau saya tak boleh tolong Encik Razak jika ada tugas lain, saya boleh minta tolong Sirul hantar bantuan pada Encik Razak,"
katanya.


Azilah berkata, bahawa selepas ke rumah Abdul Razak, dia dan Sirul telah pergi ke Hotel Malaya di Kuala Lumpur untuk menemui perempuan Cina yang dikatakan oleh Abdul Razak.


"Kami sampai ke bilik 512. Saya takut nak ketuk kerana takut salah orang dan takut mengganggu privasi penghuni bilik itu," katanya.


Azilah berkata, dia juga telah memberitahu DSP Idris tentang masalah yang dihadapi Abdul Razak dan bertanyakan kepada pegawai itu mengenai prosedur untuk meminta kebenaran meronda di kawasan kediaman dan cara mendapatkan peti polis.


Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/15/mstar_berita/20090115181722&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...