Muda Mohd Noor Jan 14, 09 2:36pm
analisis Dalam persaingan dekat antara dua calon BN dan PAS saat ini, tiga hari sebelum pengundian, rata-rata pemilih Melayu di Kuala Terengganu sukar meramalkan siapa yang memenangi kerusi parlimen tersebut, Sabtu ini.
Menurut mereka, papan tanda, bendera, risalah dan ceramah tidak boleh menjadi kayu ukur kekuatan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh atau Mohd Abdul Wahid Endut.
Seorang penduduk di Jalan Kamaruddin, Zahari Awang berkata, daripada kira-kira 500 pengundi di tempatnya, hanya 300 yang mungkin telah menetapkan calon yang hendak dipilihnya.
“Orang di sini bercakap bermacam-macam... ada yang nak pilih calon, ada juga yang mahu pilih parti.
"Tetapi mereka mula membanding-bandingkan antara Wan Ahmad Farid dengan Abdul Wahid.
"Ramai juga yang kata: aku tak tahu lagi nak pergi mengundi atau tidak," katanya kepada Malaysiakini malam tadi.
Zahari, pemuda lewat 30-an yang bekerja sendiri berkata, bantuan kewangan dan projek yang dijanji dan diberikan kepada mungkin hanya boleh mempengaruhi pengundi tertentu sahaja.
Menurutnya, bantuan seperti ini merupakan perkara biasa dalam setiap kali pilihanraya kecil.
Manakala Mohamad Jaafar dari Kampung Bukit Besar berkata, kehadiran pemimpin luar ke Kuala Terengganu tidak boleh mempengaruhi pengundi tempatan.
"Saya penyokong PAS sejak berpuluh tahun lalu tak kan nak undi parti lain semata-mata dengar ceramah BN.
"Begitu juga orang BN, dia tidak pangkah PAS walaupun berpuluh kali mendengar ceramah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Wahid Endut," katanya.
Ditanya mengenai isu-isu yang boleh menyebabkan pengundi berpaling tadah daripada undi yang diberikan dalam pilihanraya umum lalu, Mohamad berkata, isu-isu yang ada sekarang tidak memungkinkan mereka berbuat demikian.
Katanya, kini tiada isu lagi sebesar pemecatan Anwar pada 2 September 1998.
"Isu royalti (petroleum), Piala Monsun dan 'negeri kaya, rakyat miskin' (yang dibawa PAS) sudah didengar bertahun-tahun lalu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
"Orang ceramah berdegar-degar tetapi kita sendiri yang mengundi, bukan dia," tambahnya.
Seramai 70,703 pemilih Melayu akan menentukan sama ada BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut yang dimenangi dengan majoriti tipis 628 undi pada Mac tahun lalu.
Daripada jumlah pengundi 80,229, kira-kira 50 peratus pemilih wanita dan 45 peratus berusia bawah 40 tahun.
PAS dengan bantuan PKR dan DAP memberikan tumpuan di DUN Bandar. Sementara BN pula cuba menembusi DUN Wakaf Mempelam dan Batu Burok yang menjadi kubu kuat PAS.
Sementara DUN Ladang yang dimenangi PAS pada Mac tahun lepas dengan majoriti tipis 31 undi pada umumnya lubuk kekuatan BN.
DUN tersebut buat pertama kali dikuasai PAS pada 1999 yang menyaksikan gelombang besar undi protes penyokong Umno dalam isu pemecatan dan pemenjaraan Anwar.
Di Wakaf Mempelam yang diwakili Abdul Wahid, BN cuba menjelaskan bahawa PAS di Perak lebih mengutamakan orang Cina apabila memberikan hak milik kekal tanah kampung-kampus baru.
Isu ini dibimbangi oleh PAS boleh mengugat sokongan pengundi atas pagar dan simpatisannya.
Tetapi serangan PAS terhadap calon BN - misalnya mendakwa beliau seorang yang sombong dan pernah meminggirkan bekas ahli parlimennya Datuk Razali Ismail - meletakkan jentera BN dalam keadaan bertahan.
Seorang pengundi di DUN Wakaf Mempelam, Mohd Noor Riping @ Ahmad berkata, pengundi di kawasan itu memang diketahui umum penyokong Abdul Wahid.
Kata penduduk Kampung Merbau Patah itu, beliau tidak nampak pengundi di sini akan mengundi orang lain walaupun dijanjikan pembangunan besar-besaran jika BN menang kerusi parlimen Wakaf Mempelam.
"Kita sudah biasa dengan janji pembangunan, tidak payah cakap semua orang tahu kerana ini pilihanraya," katanya.
Bagaimanapun, pandangan tersebut disanggah oleh Wan Abdul Razak Wan Jusoh yang mendakwa penyokong kuat BN sejak sekian lama.
Katanya, penduduk Kuala Terengganu mahukan perubahan yang telah dicetuskan oleh Razali.
"Banyak perubahan dalam pendidikan semasa Razali menjadi wakil rakyat. Ramai rakyat Terengganu yang berjaya.
"Rugilah kalau kita tidak memilih BN untuk meneruskan kegemilangan tersebut," katanya.
"Apa yang lebih utama," kata petani dari Kampung Pak Pa itu, "kita sudah duduk zaman (pentadbiran) PAS selama empat tahun."
"Jadi bandingkan zaman dia (PAS) dengan zaman BN ini."
Selain calon-calon BN dan PAS, pilihanraya kecil Sabtu ini turut ditandingi calon bebas, Azharudin Mamat @Adam.
Dalam pilihanraya umum lalu, Razali menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas Maimun Yusuf.
http://www1.malaysiakini.com/news/96413
No comments:
Post a Comment