Friday, January 16, 2009

‘Bicara Memey ikut skrip’


Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my



SHAH ALAM: “Jika Memey rasa Norman lelaki yang baik, baguslah. Tetapi siapa Norman sebenarnya hanya saya dan Allah yang tahu.

“Sebagai bekas isterinya, saya kenal Norman luar dalam,”
Arbaeyah Abdul Manan, 31, atau Abby Abadi, mengulas kenyataan Memey, 20 atau Suhaiza Suhaimi yang memuji kebaikan Mohamed Norhakim Zaidon, 32 atau Norman Hakim, semalam.

Abby berkata, jika Memey berasakan dia tidak bersalah, kenapa baru sekarang tampil membuat pelbagai kenyataan.

Katanya, setiap bicara Memey kelihatan seperti dirancang dan mengikut skrip.

“Sudahlah, jangan hendak menegakkan benang basah. Kalau dia rasa Norman baik, okeylah. Tepuk dada tanya selera.

“Saya tak faham kenapa dia boleh kata kes tangkap khalwatnya dengan Norman perkara yang tidak dijangka,”
katanya yang ditemui di lokasi penggambaran drama Jula Juli Bintang Tiga di Bukit Jelutong di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, apabila Memey menjalinkan hubungan dengan suami orang, dia patut memikirkan kesannya.

“Jika dia beri alasan selalu ke pejabat Norman untuk menguruskan pentadbiran, saya tidak nampak sebab kenapa mereka perlu selesaikan kerja sehingga lewat malam dan adakala sampai awal pagi.

Kata Abby, dia pernah menjadi rakan kongsi syarikat itu, justeru, dia mengetahui perjalanan syarikat dan berapa berat beban kerja di pejabat itu.

“Syarikat itu tidaklah mempunyai terlalu banyak kerja, jadi saya tidak nampak kenapa mereka perlu bekerja lewat setiap malam. Pejabat kerajaan yang sentiasa sibuk pun tutup jam 5 petang setiap hari,” katanya.

Pelakon Gerak Khas itu berkata, Memey sepatutnya mencari alasan dan jawapan lebih logik berhubung tragedi malam itu.

“Sudah sampai tahap ditangkap khalwatpun, Memey masih sanggup keluarkan alasan tidak masuk akal. Dia juga beritahu bersedia berjumpa saya. Takkan dia tak tahu saya berada di pihak mana,” katanya.

Daripada kata-katanya dalam program Wanita Hari Ini dan media, semalam, kata Abby, dia mendapati Memey tidak mempunyai perasaan.

“Saya tidak rasa kejadian malam itu memberi tekanan kepadanya. Sebagai wanita saya terima dan reda dengan ketentuan Allah, tetapi saya tidak menafikan ia tetap memberi kesan kepada saya dan sangat sedih setiap kali memandang wajah anak.

“Jika saya seorang diri senang membawa diri tapi keadaan berbeza apabila mengenangkan nasib anak,”
katanya yang akan menolak jika ada tawaran berlakon bersama Memey.

Abby seterusnya menyatakan sebagai perempuan, Memey sepatutnya belajar untuk memahami hati perempuan lain apabila mula rapat dengan suami orang.

Mengenai permohonan maaf Memey, dia berkata, dia boleh memaafkan siapa saja asalkan insan terbabit benar-benar menyesal di atas kesilapan dilakukannya.

“Tetapi untuk memaafkan Memey tidak sekali kerana tidak kelihatan sebarang penyesalan pada wajahnya,” katanya.

Berbalik kepada kehidupannya bersama tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 6, Marissa Dania Hakim, 4 dan Maria Danisha Hakim, 4 bulan, jelas Abby, mereka masih kecil, namun terpaksa menjelaskan kepada Danish dan Dania mengenai hubungannya dengan Norman kini hanya kawan.

“Danish dan Dania merasa pelukan seorang ayah kerana selalu tidur atas dada papa mereka. Tetapi Danisha tidak dapat merasai itu semua. Danisha anak yang baik. Sejak dilahirkan, dia tidak meragam dan jarang menangis. Dia seperti tahu apa yang berlaku terhadap mama dan papanya.

“Walaupun Danish faham situasi sekarang, dia tetap bertanya kenapa papanya tidak boleh duduk dan tidur di rumah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115093016/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...