Friday, January 16, 2009

Diskaun tol hingga 20 peratus

KUALA LUMPUR - Selepas diberi diskaun 10 peratus mulai 1 Januari, pengguna lebuh raya PLUS dan ELITE bagi Kelas 1 (kereta) akan menerima tambahan diskaun 10 peratus lagi sempena sambutan Tahun Baru Cina minggu depan.

Diskaun tambahan yang menjadikan keseluruhan 20 peratus itu membabitkan penggunaan lebuh raya bagi tarikh 21, 22, 23, 26, 29 dan 30 Januari ini.

Pengarah Urusan PLUS Expressways, Noorizah Abd. Hamid dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, diskaun tersebut adalah bagi pengguna di luar waktu puncak iaitu yang memasuki lebuh raya antara 12:01 tengah malam sehingga 7 pagi.

"Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan di laluan Jalan Duta-Ipoh Selatan yang selalunya membayar tol berjumlah RM26.50 akan mendapati amaun itu dikurangkan kepada RM23.80.

"Namun jika perjalanan di luar waktu puncak itu dibuat pada tarikh sempena Tahun Baru Cina ini, mereka akan mendapat diskaun tambahan 10 peratus lagi menjadi hanya RM21.40,"
kata Noorizah.

Menurut beliau, insentif itu bertujuan mengagihkan aliran trafik ke waktu di luar waktu puncak dan menjadikan perjalanan lebih selesa dan lancar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...