Friday, January 16, 2009

Lafaz cerai 2 kali


Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang perunding teknologi maklumat memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, dia melafazkan cerai sebanyak dua kali terhadap isterinya melalui percakapan dan SMS pada November tahun lalu.

Dino Rais, 31, yang juga anak Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, mendakwa dia melafazkan cerai berikutan isterinya, Riza Ainurin Ramlan, 25, keluar rumah tanpa mendapat keizinannya.

Menurutnya, lafaz cerai kali pertama dilakukan di rumah bapa saudara isterinya di Taman Keramat pada 12 November tahun lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

“Lafaz yang pertama itu berbunyi ‘Sekiranya Riza keluar rumah ini dengan anak tanpa izin suami kerana sengaja mahu menyakiti hati suami, keluar malam karaoke dan tinggalkan Iman (anak) dengan saya serta ingkar maka jatuhlah talak’.

“Ketika saya melafazkan cerai di ruang tamu rumah berkenaan, bapa saudara serta ibu saudara Riza turut berada berdekatan mereka tapi tidak masuk campur,” katanya.

Dino berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan peguam syarie Roslizam Rahim.

Dino turut mendakwa, lafaz kedua melalui SMS di rumah yang sama dengan mengatakan ‘Salam buat isteriku Riza, tarikh 25 November 2008 jam 10 malam. Selepas berbagai usaha dibuat untuk menyelamatkan rumah tangga demi anak dan berkali-kali minta cerai sekiranya Riza keluar rumah dan membawa Iman tanpa izin suami memang sengajalah Riza mencari jalan berpisah. Maka terbubarlah perkahwinan ini. Wassalam’.

Sementara itu, Riza Ainurin mendakwa tidak pasti dia berada di mana ketika lafaz cerai pertama dilakukan suaminya.

Riza memberitahu mahkamah dia pernah meminta cerai daripada suaminya tapi bukan berkali-kali.

Dia turut mengaku menerima SMS daripada suaminya pada 25 November lalu selepas dia keluar dari rumah di Taman Keramat dan ketika itu sudah hampir dengan rumah keluarganya di Taman Tun Dr Ismail.

Hakim Syarie Mohd Yunos Mohamad Zin menetapkan 3 dan 4 Februari depan untuk Dino dan Riza mengemukakan dua saksi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115092344/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...