Friday, January 16, 2009

Suri rumah kini lebih selamat


TUMPAS...Abdul Jalil menunjukkan barangan yang
dirampas daripada Geng Tukang.



AMPANG JAYA: Geng Tukang yang menyamar sebagai anggota polis dan aktif sejak enam bulan lalu dengan menjadikan suri rumah dan orang gaji sebagai mangsa lumpuh apabila enam daripada mereka ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Ampang dan Cheras, minggu lalu.

Difahamkan, ahli sindiket terbabit hanya menjalankan kegiatan pada waktu siang kerana ketika itu hanya suri rumah dan orang gaji berada di rumah.

Modus operandi kumpulan itu ialah sering berpakaian kemas dan menyamar sebagai polis konon memeriksa rumah mangsa.

Sebaik memasuki rumah, mereka segera mengacukan parang ke leher mangsa sebelum diikat menggunakan wayar atau tali.

Mereka kemudian menggeledah rumah mangsa mencari barangan berharga sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Kegiatan mereka terbongkar apabila enam lelaki berusia dalam lingkungan 30-an termasuk seorang warga Thailand ditahan dalam serbuan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang minggu lalu.

Selain itu, polis merampas sebuah kenderaan serta ratusan barangan berharga dipercayai hasil samun sindiket berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100,000.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata hasil intipan pihaknya membawa kepada penahanan enam ahli kumpulan itu di tiga pangsapuri sekitar daerah itu dan Cheras pada 8 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui ratusan barangan hasil samun antaranya sebuah kereta Nissan Sentra, tiga komputer riba, 30 jam tangan berjenama, 22 telefon bimbit dan puluhan aksesori perhiasan diri.

“Selain itu, tiga parang, dua pedang samurai dan sepasang gari import turut dijumpai dipercayai digunakan suspek untuk menyamun mangsa,”
katanya pada sidang media di sini semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115093252/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...