Friday, January 16, 2009

Dua gadis jadi pencopet


Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Dua gadis yang menjadikan kerja mencopet bersama seorang rakan lelaki mereka di kawasan tumpuan orang ramai sebagai sumber pendapatan utama tumpas selepas seorang daripada mereka ditahan seorang detektif sebuah gedung beli-belah terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini malam kelmarin.

Kumpulan dikenali Geng Trio Himpit itu dikatakan bergerak secara berkumpulan dan memilih mangsa di kalangan wanita yang sedang leka membeli-belah.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua gadis terbabit yang berkunjung gedung itu mensasarkan seorang gadis berusia 25 tahun sebagai mangsa apabila mendapati gadis itu sedang leka memilih pakaian berikutan promosi jualan murah.

Menurut sumber polis, kedua-dua gadis terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an menghampiri mangsa dan berasak-asak di celah-celah orang ramai dengan lagak sama seperti pelanggan.

“Mereka kemudian berdiri antara mangsa dan pada masa sama, rakan lelaki mereka yang berada berhampiran dengan pantas memasukkan tangannya ke dalam beg tangan mangsa untuk mengambil dompetnya,” katanya.

Katanya, perbuatan kumpulan itu diperhatikan detektif gedung berkenaan yang mengekori mereka.

“Sebaik menyedari diekori oleh detektif gedung itu, mereka mencampakkan dompet mangsa sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun seorang daripada mereka diberkas dan hasil pemeriksaan, pihaknya menemui beberapa barang lain dipercayai dicuri daripada beberapa mangsa di lokasi berhampiran,”
katanya.

Katanya, pemilik dompet terbabit muncul selepas pengumuman penemuan dompetnya dihebahkan melalui pembesar suara sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi.

“Gadis itu turut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115093237/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...