Sunday, March 1, 2009

Isteri diplomat Malaysia terlibat


GAMBAR menunjukkan kereta Renault Clio yang didaftarkan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia selepas kemalangan.


JOHANNESBURG - Seorang isteri kepada diplomat Malaysia di Afrika Selatan didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki dengan melanggarnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian itu berlaku pada pukul 1 pagi waktu tempatan pada Sabtu lepas di lebuh raya N1 di Roodepoort itu di sini dan wanita itu dipercayai mabuk.

Mangsa, Adonis Ndudule, 24, dari Ormonde View memberhentikan keretanya beberapa meter sebelum persimpangan 14th Avenue berikutan enjin kereta Volkswagen Beetle miliknya mengalami kerosakan.

Satu sumber memberitahu, seorang lelaki yang menaiki kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran diplomatik tiba di tempat kejadian setelah wanita berumur 37 tahun itu menghubunginya.

Ndudule dilanggar dari bahagian belakang dan dia mati kerana rempuhan kuat.

Ketika kejadian, anak jiran Ndudule, Sharon Mphofu yang berumur 22 tahun berada dalam keretanya.

Seorang pekerja trak penunda berkata, pemandu wanita kereta itu sangat mabuk sehingga tidak boleh berdiri sendiri.

Wanita itu kemudian menghulurkan telefon bimbitnya kepada seorang saksi dan berkata: "Ambil ini, cakap dengan dia!"

Seorang lelaki kemudian memperkenalkan diri sebagai suami suspek dalam telefon itu dan meminta isterinya dihantar ke satu lokasi tetapi permintaan itu tidak diendahkan.

Lelaki itu tiba sejurus kemudian dan mengalihkan botol-botol arak itu dari kereta wanita itu jenis Renault Clio ke dalam jaket untuk menyembunyikannya.

Satu siasatan terhadap sistem pendaftaran kenderaan kemudian mendapati kereta tersebut didaftar dengan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.

Seorang anggota polis di lokasi berkata, suami wanita itu memberitahu isterinya sudah melakukan semua perkara untuk mengelak kemalangan tersebut.

"Kami tidak boleh menahannya di tempat kejadian walaupun wanita itu memandu dengan cuai kerana dia mempunyai kekebalan diplomatik," kata jurucakap polis, Inspektor Edna Mamonyane.

Hasil siasatan kes berkenaan akan dikemukakan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Afrika Selatan, Ilham Tuah Illias mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Kita akan menghantar laporan penuh mengenainya ke Wisma Putra selepas semua siasatan selesai," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi pula berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kemalangan itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...