Sunday, March 1, 2009

Penderaan di Guantanamo kian buruk


GAMBAR fail ini menunjukkan seorang tahanan dibawa oleh dua anggota keselamatan ke bilik penjaranya di Teluk Guantanamo milik Amerika Syarikat di Cuba pada 11 Januari 2002.


WASHINGTON - Kejadian penderaan tahanan-tahanan di penjara milik Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo semakin buruk sejak Presiden Barack Obama berkuasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut seorang peguam yang mewakili beberapa tahanan, Ahmed Ghappour, beliau percaya pengawal-pengawal penjara itu berbuat demikian sebelum kem itu ditutup dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, penderaan mula meningkat pada Disember lalu selepas Obama menang dalam pilihan raya Presiden.

Ahmed menyebut antara penderaan itu adalah memukul tahanan, menyembur semburan lada di tisu tandas dan memaksa tahanan yang mogok lapar makan.

Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) pada Isnin lalu menyatakan ia menerima laporan penderaan terbaru ketika melakukan kajian semula di kem Guantanamo.

Bagaimanapun, menurut Pentagon, semua tahanan dilayan mengikut Konvensyen Geneva.

"Menurut pelanggan-pelanggan saya, terdapat peningkatan penderaan sejak Obama menjadi Presiden," kata Ahmed yang berkhidmat dengan sebuah badan kebajikan, Reprieve dan mewakili 31 tahanan kem Guantanamo.

Sebelum ini Obama berikrar akan menutup penjara di kem Guantanamo dalam tempoh setahun.

Ahmed berkata, dia pernah bercakap dengan pengawal-pengawal tentera yang menggambarkan keseronokan ketika mereka mendera tahanan sama ada menganggu solat atau melakukan deraan berbentuk fizikal. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...