Sunday, March 1, 2009

Tertinggi dalam sejarah sejak Perang Dunia Kedua




WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) akan mengunjurkan defisit perbelanjaan terbesar Amerika Syarikat (AS) sejak Perang Dunia Kedua dalam satu bajet yang diharap dapat mengelak ekonomi negaranya musnah.

Menurut seorang pegawai yang memberi taklimat kepada pemberita, Obama menjangkakan defisit sebanyak AS$1.75 trilion (RM6.4 trilion) untuk tahun fiskal 2009.

Jumlah itu bersamaan dengan 12.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS sejak 1945 apabila negara itu mengalami defisit sebanyak 21.5 peratus.

Presiden AS berkulit hitam pertama itu akan mengumumkan bajetnya pada pukul 11 pagi waktu tempatan.

Antara lain, ia akan mengandungi garis panduan sebelum satu dokumen lain dikeluarkan pada April ini.

Defisit tinggi itu menyebabkan harga-harga bon Perbendaharaan AS jatuh.

Harga emas turun pada tahap terendah dalam tempoh lebih dari seminggu selepas meningkat lebih AS$1,000 (RM3,670) satu auns pada awal bulan ini. Bajet untuk tahun kewangan yang bermula 1 Oktober 2009 itu perlu mendapatkan kelulusan Kongres AS sebelum boleh dikuat kuasakan.

Obama yang memulakan penggal pertama Presiden setelah mengangkat sumpah pada 20 Januari lalu berikrar untuk mengurang jumlah defisit yang diwarisi daripada bekas Presiden George W. Bush.

Kerajaan AS pimpinan Obama merancang untuk mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya manakala pengunduran tentera di Iraq diharap dapat membantu menyelesaikan masalah itu.

Bajet pertama Obama mencadangkan potongan subsidi dalam sektor pertanian.

Kemelesetan ekonomi di AS sudah memasuki tempoh 14 bulan berikutan krisis kewangan namun ia akhirnya merebak ke seluruh dunia. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...