sarah@hmetro.com.my
suami culas bayar nafkah anak." title="LAPOR...mangsa menunjukkan laporan polis terhadap bekas suami culas bayar nafkah anak." height="357" width="300" border="0"> |
LAPOR...mangsa menunjukkan laporan polis terhadap bekas suami culas bayar nafkah anak. |
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah terpaksa menanggung sengsara rentetan sikap bekas suaminya yang dipercayai lepas tangan apabila gagal membayar nafkah tiga anak mereka sejak lebih setahun lalu.
Malah, tanggungan yang dipikul membesarkan tiga anaknya, termasuk dua daripadanya masih bersekolah semakin berat selepas wanita berusia 40 tahun itu diberhentikan kerja bulan lalu akibat kemelesetan ekonomi global.
Wanita yang enggan dikenali itu mendakwa bekas suaminya mula menunjukkan ‘perangai’ bermula Disember 2007 apabila tidak membayar nafkah anak seperti diperintahkan mahkamah.
“Disebabkan bekas suami lepas tangan kerana enggan membayar nafkah, keputusan dikeluarkan mahkamah pada Julai tahun lalu yang menuntut bayaran tertunggak.
“Bagaimanapun, sikap bekas suami saya semakin teruk, malah sering menggunakan alasan enggan membayar nafkah konon kerana tidak membenarkan anak berjumpa dengannya walaupun hakikat sebenarnya tidak,” katanya di sini, semalam.
Dia yang sedang mencari pekerjaan baru berkata, dia pada mulanya lega apabila bekas suaminya melaksanakan tanggungjawab dengan membayar nafkah selepas bercerai sejak 2003, namun kecewa apabila lelaki itu kemudian enggan bertanggungjawab.
“Keputusan perintah membayar nafkah tertunggak dikeluarkan mahkamah tahun lalu, namun sehingga kini saya belum menerima sesen pun” katanya.
Menurutnya, dia kini terpaksa menunggu lagi tindakan mahkamah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab bekas suaminya yang masih enggan membayar nafkah.
“Saya merayu pihak mahkamah mempercepat proses tuntutan nafkah ini kerana yang penting adalah masa depan anak.
“Wang itu diperlukan untuk pembelajaran anak saya. Kini, ditambah pula dengan keadaan saya yang sedang mencari pekerjaan selepas diberhentikan,” katanya.
Katanya, dia menghadapi pelbagai tekanan sepanjang menunggu kes tuntutan nafkah, termasuk terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi.
“Saya bersyukur kerana keluarga amat memahami dan membantu selepas bercerai dengan bekas suami.
“Kini, saya tidak tahu ke mana lagi untuk mengadu selain berharap tuntutan nafkah ini selesai dengan secepat mungkin bagi kepentingan anak,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090424075544/Article/index_html
No comments:
Post a Comment