fadly@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Wabak demam denggi di negara ini semakin membimbangkan apabila 16,684 kes denggi membabitkan 40 kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 18 April lalu.
Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 11,386 kes dengan 29 kematian.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selangor terus menjadi negeri tertinggi mencatatkan jumlah kes bawaan nyamuk iaitu sebanyak 8,928 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (1,447), Perak (1,405), Johor (901) dan Pulau Pinang (885).
Bilangan kes kematian tertinggi juga turut dicatatkan di Selangor dengan 27 kematian, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (5), Negeri Sembilan (4), Johor (2) serta Pahang dan Sabah, masing-masing sebanyak satu kes.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata KKM mengenal pasti 85 ‘kawasan panas’ pembiakan nyamuk paling aktif di mana 82 daripadanya di Selangor manakala selebihnya di Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta di Sarawak.
Katanya, hasil pemantauan dilakukan mendapati 19,657 premis dikesan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik dan sebanyak 481 kompaun bernilai RM72,159 dikeluarkan.
“Kita sudah melakukan pemantauan secara berkala terhadap kes berkaitan nyamuk aedes di tempat yang dikenal pasti tetapi, masalah ini masih tetap berlaku.
“Angka dicatatkan juga sangat mengejutkan kerana walaupun pelbagai usaha serta kempen dilakukan, bilangan kes terus meningkat dan masih ada premis terus menjadi kawasan pembiakannya,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kes membabitkan penyakit Chikungunya turut meningkat. Bagi tempoh 12 hingga 18 April lalu 45 kes dilaporkan berbanding minggu sebelumnya 29 kes.
Katanya, jumlah itu meningkat 15 peratus dengan jumlah terkumpul 1,243 kes setakat tahun ini.
“Kita mengenal pasti lima negeri yang menunjukkan peningkatan berkaitan penyakit Chikungunya dengan Selangor dan Johor masing-masing mencatat empat kes, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga kes diikuti Pahang dan Terengganu, masing-masing dua kes,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090424080923/Article/index_html
No comments:
Post a Comment