Wednesday, April 29, 2009

Selesema babi di New York


BEBERAPA penumpang yang tiba dari Mexico memakai topeng muka ketika tiba di sebuah lapangan terbang di Madrid, Sepanyol semalam.


BANDAR RAYA MEXICO - Bimbang dengan selesema babi yang semakin merebak di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, berjuta-juta penduduk Mexico tidak keluar rumah bagi mengelak dijangkiti virus berkenaan yang sudah meragut 103 nyawa.

Menteri Kesihatan, Jose Angel Cordova dalam kenyataan lewat semalam berkata, angka kematian akibat penyakit itu di Mexico meningkat kepada 103 orang manakala 400 yang lain masih dirawat di hospital di seluruh negara.

Di ibu negara Mexico, keadaan bandar raya berkenaan hampir lumpuh apabila berjuta-juta warga kota tinggal di dalam rumah bagi mengelak dijangkiti selesema babi.

Mereka yang berani keluar rumah berbuat demikian dengan memakai topeng muka manakala sesetengah majikan membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah semalam.

"Ini ialah kali pertama saya keluar rumah dalam tempoh dua hari. Saya perlu mengambil angin," kata seorang pekerja pejabat, Juan Casino, 39.

Ketika kematian akibat selesema babi terhad pada Mexico, penyakit itu semakin menular dengan 20 kes dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) dan enam di Kanada selain beberapa kes baru di Eropah, Israel dan New Zealand.

AS mengisytiharkan darurat kesihatan manakala seorang pegawai kanan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan kebimbangan kematian akan berlaku ketika penyakit itu semakin menular di negara berkenaan.


SEORANG wanita dan remaja yang 
memakai topeng muka meninggalkan Hospital Queens, New York kelmarin.


Beberapa pegawai kesihatan New York pula mengesahkan lapan pelajar sekolah tinggi Saint Francis di bandar raya berkenaan dijangkiti virus maut itu manakala 140 pelajar lagi turut menunjukkan simptom influenza.

Kesemua mereka disyaki dijangkiti virus H1N1 daripada seorang pelajar yang baru pulang dari Mexico baru-baru ini.

Kelapan-lapan pelajar sekolah St. Francis yang disahkan positif virusH1N1 itu menyertai 12 orang lagi di AS yang dijangkiti selesema babi.

Mereka yang menghidap penyakit itu akan menunjukkan tanda-tanda selesema biasa seperti demam mengejut, sakit tekak, batuk dan sakit sendi sebelum merebak menjadi jangkitan paru-paru teruk.

Ketika ini wujud kebimbangan wabak selesema babi yang merebak melalui jangkitan antara manusia akan menular ke seluruh dunia dan mengakibatkan kematian lebih 100 juta orang.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) me nyatakan ubat selesema burung, Tamiflu didapati berkesan bagi merawat penyakit maut itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...