Wednesday, April 29, 2009

Ustaz prepaid

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Salman Hamat
am@hmetro.com.my

RAWANG: Bertopengkan perwatakan alim dan bacaan doa murah rezeki, seorang ‘ustaz temberang’ dipercayai mampu bergelar jutawan segera selepas memperdayakan puluhan individu membabitkan jumlah jutaan ringgit melalui skim perkongsian perniagaan kad prabayar sebelum melarikan diri bersama modal diberikan mangsa.

Sehingga kini, lebih 10 individu yang menjadi mangsa ‘ayat pemanis’ ustaz terbabit hanya mampu menepuk dahi apabila kerugian hampir RM2 juta selepas setiap seorang daripada mereka menyerahkan RM200,000 bagi mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 38, berkata dia mengenali lelaki itu selepas diperkenalkan rakannya yang terlebih dulu mengetahui berhubung tawaran pelaburan kad prabayar itu.

Menurutnya, ustaz berkenaan mendakwa mampu membekalkan kad prabayar pada harga serendah RM9.60 untuk pembelian setiap kad bernilai RM10.

“Saya tertarik dengan tawaran itu kerana harganya sungguh luar biasa. Selepas melihat kami mula yakin berurus niaga dalam jumlah modal lebih besar, ustaz palsu itu mula menawarkan pada kami untuk berkongsi dengan alasan kekurangan modal.

“Menurut ustaz itu, dia bimbang ketiadaan modal menyebabkan dia terlepas peluang untuk membekalkan sehingga 10,000 keping kad sehari kepada seorang pembeli di Kuantan, Pahang,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu yang berusia 50-an berjanji akan memberikan keuntungan harian 10 peratus daripada hasil jualan kad prabayar berkenaan kepada mangsa.

“Dalam tiga bulan pertama semuanya berjalan lancar dan keuntungan dijanjikan dibayar mengikut jadual.

“Ustaz itu menawarkan saya menjadi rakan kongsinya dengan membuat pelaburan RM200,000 dan berjanji membayar wang keuntungan berkenaan dalam tempoh beberapa hari selepas pelaburan dibuat,”
katanya.

Menurutnya, dia dan beberapa lagi rakan lain mengeluarkan wang simpanan dan menyerahkannya kepada ustaz terbabit tanpa syak wasangka dan hanya menyedari ditipu selepas lelaki itu menghilangkan diri.

“Yakin berurusan dengan lelaki itu, kami semakin berani menyerahkan wang dalam jumlah lebih besar. Kali terakhir saya menyerahkan wang padanya pada akhir Ogos lalu, iaitu sehari sebelum dia menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

“Ustaz itu seperti mendesak saya menyerahkan wang terbabit dengan alasan untuk membuat pembayaran bagi urusan penting. Walaupun tak sedap hati, permintaan itu tetap saya ikutkan selepas terbayang untung berlipat ganda dijanjikan,”
katanya. 

Dia yang kerugian wang simpanan memberitahu membuat laporan di Balai Polis Shah Alam, namun sehingga kini suspek dipercayai masih berkeliaran mencari mangsa baru.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Ady, 40, berkata dia yakin berurus niaga dengan ‘ustaz putar alam’ itu berikutan perwatakan alim yang ditampilkan termasuk sentiasa membaca al-Quran setiap kali berkunjung ke rumahnya.

“Setiap kali mengambil wang deposit, dia akan membacakan doa kononnya untuk keberkatan padahal semua itu hanya lakonan untuk membuatkan kami yakin kepadanya.

“Biasanya apabila datang mengambil duit daripada mangsa, dia hanya membawa beg galas atau meletakkan wang kami dalam beg plastik sampah hitam kononnya untuk keselamatan,”
katanya.

Menurutnya, selain menawarkan skim pelaburan kad prabayar, ustaz temberang itu turut cuba memperkenalkan skim pelaburan lain, antaranya pelaburan ternakan lintah, sarang burung dan pelaburan keretek.

“Bagi meyakinkan kami, ustaz itu kerap memberikan cagaran cek selain mengeluarkan resit khas setiap kali mengambil wang deposit pelaburan daripada mangsa. Bagaimanapun, kami mendapati, cek terbabit bukan dimilikinya, tetapi cek milik syarikat lain.

“Dia yang bijak bermain kata sering bercerita kononnya rapat dan mempunyai pertalian dengan seorang Tan Sri yang juga tokoh automotif negara. Namun, semua dakwaannya hanyalah rekaan selepas lelaki itu melarikan diri,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20090428073341/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...