ffarlin@hmetro.com.my
2010/02/18
KUALA LUMPUR: Penipuan skim pelaburan masih menduduki tempat pertama dalam senarai aduan yang diterima Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Setiausaha Agungnya, Muhamad Shaani Abdullah, berkata untuk dua bulan pertama tahun ini, Fomca melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima purata kira-kira 200 aduan setiap bulan daripada pengguna yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak sah.Beliau berkata, jumlah itu tidak banyak berbeza berbanding tahun lalu dan tidak menunjukkan tanda pengurangan walaupun sering dilaporkan di dada akhbar.
“Aduan paling banyak kami terima dari tahun lalu hingga dua bulan pertama tahun ini berkaitan penipuan skim pelaburan daripada mangsa dan ia masih tidak berubah.
“Kesimpulan yang saya boleh buat berdasarkan situasi ini, masih ramai pengguna mempunyai kesedaran yang rendah mengenai penipuan dalam bentuk skim pelaburan sehingga mereka terus menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Muhamad Shaani yang juga Ketua Eksekutif NCCC, berkata berdasarkan jumlah aduan yang terus diterima berkaitan penipuan itu, pengguna seakan tidak menyedari risiko atau bahaya yang menanti jika terbabit dengan skim pelaburan tidak sah.
Katanya, masih ramai yang mengambil kesempatan menjalankan skim pelaburan haram berikutan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa yang mengambil masa terlalu lama untuk dijalankan.
“Kegiatan ini terus berjalan dengan aktif dan bilangan yang menjadi mangsa juga masih ramai kerana tindakan penguatkuasaan yang dibuat terlalu lama, sepatutnya ia perlu diambil segera supaya penganjuran skim seumpamanya dapat ditangani.
“Sepatutnya semua pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung dan mencari satu formula sesuai bagi menghalang lebih ramai menjadi mangsa skim pelaburan tidak sah,” katanya.
Beliau berkata, premis yang membenarkan kegiatan pengiklanan, promosi dan pengurusan skim pelaburan tidak sah juga harus dikenakan tindakan setimpal supaya menjadi pengajaran kepada mereka untuk lebih mengambil tahu kegiatan yang dijalankan di premis masing-masing.
Katanya, selain penipuan berbentuk pelaburan, pihaknya turut menerima aduan pengguna yang tidak berpuas hati terhadap terhadap perkhidmatan jalur lebar yang disediakan syarikat telekomunikasi kerana dikatakan tidak memuaskan hingga menyusahkan pengguna.
“Bagi pengguna yang mempunyai sebarang aduan, ia boleh disalurkan dengan melayari laman web www.nccc.org.my atau e-mel kepada myaduan@nccc.org.my atau hubungi talian 03-78779000,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/200mangsasetiapbulan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment