Wednesday, May 19, 2010

Biar ibu terbaring berlumuran darah

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin

2010/05/19

MUAR: Hanya kerana berselisih faham, seorang lelaki bagai dirasuk syaitan apabila tergamak menyerang ibu kandungnya sendiri dengan parang sehingga menyebabkan warga emas berusia 65 tahun itu berhempas-pulas mempertahankan diri ketika kedua-dua mereka bergelut selama beberapa minit.

Bagaimanapun, kudrat wanita itu tidak berupaya melawan tenaga lelaki berusia 36 tahun mengakibatkan mangsa ditetak beberapa kali pada anggota badan termasuk di leher, tangan dan bahu sebelum dibiarkan terbaring berlumuran darah.


Peristiwa berdarah di sebuah rumah di Parit Bakar di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin, bermula apabila lelaki terbabit yang dipercayai menghadapi masalah mental, tidak puas hati teguran ibunya sehingga mencetuskan perang mulut.


Dia yang tidak puas hati bertindak di luar batas apabila mengambil sebilah parang panjang sebelum mengugut untuk mencederakan ibunya.


Namun, ibu terbabit masih berusaha memujuk anaknya yang naik minyak itu sebelum dia ditetak di leher dan beberapa bahagian badan lain.

Selepas itu, suspek langsung tidak cuba melarikan diri sebaliknya duduk bersebelahan ibunya yang parah.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata anggota polis yang menerima maklumat kejadian terbabit bergegas ke tempat kejadian.


Sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, sepasukan polis memujuk lelaki itu yang kemudian menyerahkan diri dan merampas sebilah parang sepanjang 25 sentimeter.


Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, bagi mendapatkan rawatan.


“Setakat ini mangsa dilaporkan stabil dan kami menyiasat motif kejadian.

“Setakat ini, kami mengesyaki suspek mempunyai masalah mental, namun perkara itu tidak dapat dipastikan sehingga siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mohamad Nasir berkata, suspek direman pada hari sama dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Biaributerbaringberlumurandarah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...