Wednesday, May 19, 2010

'Jangan cari aku'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/05/18

KUALA LUMPUR: Hanya sehelai nota ringkas bertulis ‘jangan cari aku, minta maaf ayah dan ibu’ ditinggalkan seorang gadis berusia 15 tahun sebelum melarikan diri mengikut kekasih hatinya yang juga seorang tomboi.

Difahamkan Marnie Abdul Sarang meninggalkan keluarga selepas digoda ‘teman lelakinya’ yang dipercayai mengajak mangsa melarikan diri ke ibu kota, 13 April lalu.


Bapa Marnie, Abdul Sarang Bangung, 42, berkata anaknya berkenalan dengan tomboi dikenali sebagai Norjaimah, 20, ketika mereka belajar di sekolah sama di Kampung Sungai Gajah, Semporna, Sabah.


Menurutnya, dia hanya mengetahui kehilangan anaknya selepas menemui nota berkenaan yang ditinggalkan dalam bilik tidurnya.


“Saya berusaha mencarinya di sekitar kampung, namun gagal,” katanya ketika dihubungi di Kampung Sungai Gajah, semalam.


Sarang berkata, dia cuba menjejaki anak kesayangannya itu sampai ke Tawau iaitu kira-kira 40 kilometer dari rumah selain membuat laporan di Balai Polis Semporna.


“Sebelum kejadian, Marnie keluar rumah kira-kira jam 3 petang, namun tidak pulang hingga larut malam. Kami sekeluarga yakin Marnie melarikan diri bersama Norjaimah,” katanya.


Menurutnya, Norjaimah yang lima tahun lebih tua daripada anaknya gemar berpakaian seperti lelaki.


“Hubungan mereka terlalu akrab melebihi pasangan kekasih sehingga kami sekeluarga berasa hairan. Walaupun begitu kami tidak menghalang hubungan mereka kerana menyangka ia tidak lebih sekadar sahabat akrab.

“Bagaimanapun, hubungan mereka kian sukar dipisahkan selepas Marnie berhenti sekolah sejak setahun lalu selepas mendakwa tidak minat lagi untuk belajar,” katanya.


Menurutnya, dia membuat pemeriksaan dengan syarikat penerbangan selepas mengesyaki anaknya melarikan diri dari Sabah.


“Ternyata telahan saya tepat apabila rekod penerbangan menunjukkan Marnie dan Norjaimah menaiki pesawat AirAsia dari Tawau ke Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam iaitu hari sama dia dilaporkan hilang dari rumah,” katanya. Abdul Sarang berkata, dia pernah beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, namun gagal.


“Isteri saya, Norhayati Hambog, 43, sentiasa murung dan sedih setiap kali terkenangkan Marnie. Hanya beberapa kali saja dia menjamah nasi sejak sebulan lalu kerana terlalu rindu dan risaukan keselamatan anak kedua daripada tiga beradik itu,” katanya.

Menurutnya, dia turut meminta bantuan adik iparnya, Ali Bais Hambog, 34, yang kebetulan bekerja di sebuah syarikat elektronik di Keramat di sini, untuk mengesan Marnie.


Sementara itu, Ali Bais berkata dia buntu untuk mencari anak saudaranya itu yang dibimbangi terbabit aktiviti tidak bermoral termasuk pesta pengkid yang dianjurkan di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Abdul Sarang di talian 014-2045729 atau Ali Bais 012-3315249 atau mana-mana balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jangancariaku/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...