2010/05/19
MELAKA: Satu pasangan kekasih remaja menjadi pasangan pertama di negara ini didakwa atas pertuduhan bersama menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan mengebumikannya di satu kawasan di tepi sungai di Batu Berendam pada 12 Mei lalu.
MALU...Muhammad Safiuddin dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Pada prosiding bermula jam 3.05 petang itu, tertuduh lelaki berpakaian baju-T warna merah jambu dan berseluar panjang hitam, manakala pasangannya berbaju jaket hijau dan memakai seluar trek kelihatan tenang mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.
Sejurus pertuduhan dibaca dan diterangkan, Muhammad Safiuddin yang berada dalam kandang pesalah bertanya apa dimaksudkan dengan ‘minta dibicarakan’ atau ‘mengaku bersalah’.
Jurubahasa kemudian menjelaskan jika mengaku bersalah, mahkamah tidak akan menjalankan perbicaraan dan terus menjatuhkan hukuman, manakala jika tidak mengaku bersalah perbicaraan akan dijalankan. Juvana itu yang berdiri di luar pula mengaku bersalah sejurus ditanya jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi sungai Taman Melaka Baru, Batu Berendam, antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara dua tahun dan didenda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abdul Latiff memberitahu mahkamah pihak pendakwaan bersedia dengan fakta kes, namun laporan akhlak dan sosial belum diperoleh.
Beliau kemudian memohon tarikh lain bagi mendapatkan laporan akhlak dan sosial tertuduh dan juvana itu serta menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Muhammad Safiuddin bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan masih belajar dan memohon diberikan peluang berubah oleh mahkamah dan begitu juga juvana terbabit.
Juvana itu merayu jaminan dikurangkan kerana dia masih belajar, manakala ibunya seorang ibu tunggal.
Berikutan itu, majistret menangguhkan keputusan fakta dan hukumannya pada 17 Jun depan dan menetapkan jaminan RM2,000 bagi Muhammad Safiuddin dan juvana itu.
Pada mulanya kedua-dua remaja terbabit dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, namun media yang menunggu sejak awal pagi hingga tengah hari terkejut apabila pasangan terbabit dibawa keluar dari lokap mahkamah untuk didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh kerana berlaku kesilapan teknikal mengenai tempat kejadian.
Pada prosiding di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, galeri awam dipenuhi orang awan dan juga ahli keluarga juvana dan teman lelakinya itu.
Ibu Muhammad Safiuddin kelihatan cuba menenangkan anak lelakinya itu sambil berpelukan, manakala juvana terbabit yang duduk di samping ibunya kelihatan menutup muka dengan tuala kecil berwarna biru.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mengakutanambayi/Article
No comments:
Post a Comment