Wednesday, May 19, 2010

'Kalau ayah mati mana kuburnya'

Oleh Arifin Salleh

2010/05/19

MASJID TANAH: “Awak ambillah duit RM200 ini dulu, bawalah anak-anak kita balik ke rumah emak awak, saya nak kerja di Kuala Lumpur.” Itulah kata-kata terakhir seorang suami, Zulkeflee Haron, 42, kepada isterinya sebelum menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita sejak dua tahun lalu.

Zulkeflee berasal dari Kampung Solok Air Batu, Durian Daun dekat sini, mendirikan rumah tangga dengan Sarahyah Abu Bakar, 37, dan mempunyai dua anak perempuan, sehingga kini masih gagal dikesan walaupun sudah puas dicari.


Misteri kehilangan suaminya yang pernah bekerja sebagai jurukimpal itu menyebabkan Sarahyah dan dua anaknya, Nurul Syazlina, 9, dan Nurul Asyikin, 7, berada dalam kesempitan selepas lelaki terbabit mengambil keputusan meninggalkan rumah sewa mereka di Kuala Sungai Baru pada Februari 2008.


Sarahyah berkata, suaminya hanya meninggalkan duit sebanyak RM200 untuk perbelanjaan dan menyuruh dia membawa kedua-dua anaknya yang masih kecil ketika itu ke rumah ibunya di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, kerana mendakwa ingin mencari pekerjaan di Lembah Klang.


“Saya hanya menuruti kemahuannya dan mengambil duit yang diberikan sambil mengemas pakaian sebelum pulang ke rumah emak tanpa berfikir panjang bahawa itulah kali terakhir saya berbual dengan dia (suami) tanpa mengesyaki apa-apa.


“Selepas beberapa bulan pemergian suami ke Kuala Lumpur, saya cuba menghubungi dia beberapa kali, tetapi gagal dan apabila dimaklumkan kepada keluarga mentua, mereka juga memberi jawapan sama.


“Saya tak tahu apa yang berlaku kerana tiada siapa mahu mengambil peduli nasib kami tiga beranak sama ada ada duit belanja atau sebaliknya,” katanya yang mengambil upah mengasuh kanak-kanak ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurutnya, dia pernah berdepan kesengsaraan dalam hidup ketika anak sulungnya mahu memasuki alam persekolahan apabila tidak mempunyai wang sehingga terpaksa meminjam RM200 daripada kakak iparnya seperti pengemis jalan.


Katanya, walaupun dua anaknya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia tetap bimbang kerana mereka semakin membesar dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Sampai bila nak bersabar sedangkan tiada siapa pun mahu ambil kisah mengenai nasib kami, sedangkan suami masih hidup atau mati pun kami tidak tahu kerana tiada sebarang khabar berita,” katanya.


“Berikutan tidak tahan menanggung derita, saya merujuk perkara ini ke Pejabat Agama Daerah Alor Gajah untuk menuntut fasakh daripada suami pada Januari lalu, selain nafkah anak-anak sejak kami ditinggalkan tanpa tempat bergantung,” katanya.


Sementara itu, Nurul Syazlina berkata, dia kini hanya mampu memendam rindu terhadap bapanya yang menghilangkan diri tanpa diketahui sebabnya, malah setiap malam bayangan wajah lelaki berkenaan sering muncul mengganggu tidurnya.


Menurutnya, dia bersama adiknya memerlukan belaian kasih sayang daripada seorang bapa, namun perkara itu tidak pernah berlaku dalam hidupnya.

“Rindu memang ada, tetapi saya nak buat macam mana, sampai sekarang pun tidak tahu di mana ayah berada tambahan pula pada masa itu masih kecil dan tidak berjumpa lagi selepas itu.


“Kalau ayah sudah mati sekali pun di mana kuburnya, kalau belum kenapa ayah tak balik-balik, ayah tak kasihan pada ibu dan anak-anak ayah ke? Ayah... baliklah kalau tak sayang dengan emak tak mengapalah tapi saya dengan adik tetap sayangkan ayah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kalauayahmatimanakuburnya/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...