Wednesday, May 19, 2010

Tindakan patut dipuji

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin

2010/05/19

MUAR: “Harus hukumnya dari segi Islam,” kata penceramah bebas, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz (gambar) mengulas mengenai isu dua wanita hidup bermadu selepas menjadi ‘isteri sanggup’ seorang usahawan yang membayar denda mereka di mahkamah sebelum meletakkan syarat berkahwin.

Katanya, tindakan lelaki terbabit tidak salah dari sudut hukum agama, malah ia dituntut bagi mengelak wanita terbabit menerima aib seterusnya boleh kufur pada bila-bila masa.


“Namun, suami perlu mendidik dan membimbing isteri ke jalan diredai Allah, malah menegur mereka supaya tidak lagi melakukan kesalahan serupa pada masa datang.


“Dalam hukum Islam, tindakan seperti itu memang dibolehkan kerana selain dapat menutup aib wanita terbabit, ia juga melahirkan masyarakat sempurna dan terpuji akhlaknya,”
katanya ketika dihubungi.


Katanya, perjanjian seperti itu ‘harus’ hukumnya berbanding tindakan kahwin cina buta atau pak sanggup yang meletakkan syarat hubungan suami suami amat terbatas dan hanya berfungsi sebagai patung.


“Dua konsep ini berbeza kerana dalam perjanjian dilakukan dua wanita itu untuk menutup aib mereka, manakala perkahwinan cina buta menebus aib, malah bersifat songsang.


“Ini kerana kaedah cina buta diamalkan sesetengah masyarakat Melayu dulu membataskan hubungan kelamin di antara suami isteri walhal mereka pasangan sah,”
katanya.


Hassan yang juga Pengetua program realiti Imam Muda berkata, tindakan usahawan lelaki itu wajar dipuji tetapi perjanjian kahwin berkenaan mestilah tidak bermotifkan nafsu semata-mata.


Harian Metro semalam melaporkan dua wanita tidak mampu membayar denda RM3,000 setiap orang selepas didapati bersalah Mahkamah Syariah kerana berkhalwat lega apabila muncul seorang lelaki budiman menghulurkan wang dengan syarat berkahwin dengannya.

Kisah pelik tapi benar ini menimpa dua wanita yang kini bermadu iaitu Azah, 32 dan Ani, 25, (bukan nama sebenar) apabila menjadi isteri kedua dan ketiga usahawan berusia 55 tahun.


Azah berkata, walaupun terpaksa, dia hidup bahagia dengan suami dalam keadaan serba mencukupi walaupun bergelar isteri kedua.


Menurutnya, setahun kemudian, dia dikejutkan dengan khabar suaminya berkahwin satu lagi dengan gadis berusia 20-an menerusi taktik jerat kasih yang sama.


Isteri ketiga dikenali sebagai Ani, berusia 25 tahun berkata, dia bermadu dengan Azah selepas berkahwin dengan suami, juga melalui taktik ‘isteri sanggup’.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tindakanpatutdipuji/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...