Wednesday, May 19, 2010

Pembantu rumah Indonesia mesti diberi cuti sehari seminggu

2010/05/19

PUTRAJAYA: Sesi rundingan tahunan antara Malaysia dan Indonesia yang membawa hasil memberangsangkan membabitkan beberapa isu menunjukkan hubungan erat kedua-dua negara itu semakin berkembang selain beberapa isu dapat diselesaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dalam perbincangan empat mata antara beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, pagi semalam, beberapa isu disentuh dan persetujuan dicapai termasuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan bidang tenaga kerja.


Beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju supaya Suruhanjaya Bersama ditubuhkan sebagai mekanisme untuk menyelia dan mengambil tindakan menyelesaikan sebarang isu berbangkit dan mencari bidang baru yang diperbincangkan untuk meningkatkan hubungan dua hala.


“Jawatankuasa ini hendaklah melaporkan perkembangan beberapa kumpulan kerja yang akan ditubuhkan dan akan melaporkan setiap tiga bulan kepada kedua-dua pemimpin dan bulan depan, Menteri Luar, (Datuk) Anifah Aman akan melawat Indonesia untuk mengenalpasti bidang dan rujukan untuk kumpulan kerja itu.


“Secara khusus, kita menandatangani MOU dalam bidang tenaga kerja antara kedua-dua negara dan ia berkisar antaranya majikan kepada tenaga kerja Indonesia mesti memberi kelapangan (cuti) sekali setiap minggu sesuai dengan Akta Buruh negara kita tetapi di samping itu, jika kedua-dua pihak setuju tidak mengambil cuti, pekerja itu akan dibayar pampasan sebagai ganti cuti.


“Misalnya, pembantu rumah tidak mahu menggunakan kemudahan cuti itu, mereka akan dibayar pampasan setimpal dengan gaji manakala pasport dipegang pekerja terbabit, tetapi atas persetujuan kedua-dua pihak, pasport itu boleh dipegang oleh majikan,” ka tanya dalam sidang akhbar selepas perbincangan kira-kira satu setengah jam antara dua pemimpin itu di pejabatnya di sini, pagi semalam.


MoU mengenai bidang tenaga kerja itu ditanda tangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar sempena sesi rundingan tahunan ketujuh Malaysia dan Indonesia.


Susilo Bambang Yudhoyono tiba semalam bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh antara pucuk pimpinan kedua-dua negara dan turut dijadual berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok.


Najib berkata, soal gaji minimum pekerja masih belum diputuskan kerana sistem yang berbeza diamalkan di negara ini dan Indonesia dan perkara itu akan terus dibincangkan antara kedua-dua negara.

Mengenai visa pelajar, beliau berkata ia sudah lama dibincangkan dan boleh dianggap sudah selesai apabila Indonesia bersetuju untuk mengeluarkan visa selama dua tahun.


“Menerusi semangat kerjasama, Malaysia bersetuju dengan permintaan Indonesia untuk menambah bilangan guru Indonesia yang mengajar anak-anak pekerja mereka di Sabah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PembanturumahIndonesiamestidibericutisehariseminggu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...